fariszolkefli

EMPAT PEMAIN MUDA LAYAK BERAKSI DI JELAJAH TENIS DUNIA

EMPAT PEMAIN MUDA LAYAK BERAKSI DI JELAJAH TENIS DUNIA

November 21, 2023 5:35 am

IPOH, 21 NOVEMBER 2023 – Empat pemain negara mendapat tiket ‘wild card’ untuk beraksi dalam undian utama Jelajah Tenis Dunia Sanctband ITF M15 (pusingan 2) yang akan berlangsung di Arena Tenis Perak bermula dari 20 hingga 26 November ini.

Menurut Presiden Persatuan Lawn Tenis Perak (PLTP) Fazwil Abdul Wahid, empat pemain berkenaan ialah Koay Hao Sheng, Christian Didier Chin, Darrshan Suresh Kumar, dan Daniel Leong Prickett.

“Darrshan baru-baru ini muncul juara acara beregu Jelajah Tenis Dunia ITF Juniors J60 dan kita harapkan pemain muda negara berpeluang untuk bersaing dengan pemain-pemain profesional dari 17 negara lain.

“Sementara Mitsuki Leong Wei Kang, 19, yang berada di ranking ke-820 Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP) dunia layak secara merit dalam undian utama kejohanan ini,” katanya Fazwil ketika sidang media yang berlangsung semalam.

Turut hadir, Ketua Operasi Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) George Donelly, Penyelia Pertandingan India merangkap pengadil ITF, Puneet Gupta dan Pengarah Urusan Sanctuary Health Sdn Bhd (Sanctband Active) Koh Yek Joo.

Seramai 74 pemain daripada 17 negara sudah mengesahkan penyertaan dalam kejohanan ini iaitu dari Poland, England, New Zealand, Jepun, Thailand, Korea Selatan, China, India, Indonesia, Taiwan, Switzerland, Jerman, Belanda, Republik Czech, Australia, Perancis dan tuan rumah Malaysia.

Kejohanan menawarkan hadiah keseluruhan RM70,000 itu dijangka berlangsung sengit kerana turut memberi mata ranking ITF.

Pusingan pertama kejohanan itu yang berlangsung di Sarawak pada 13 hingga 19 November lepas, diungguli pemain dari Jepun, Hikaru Shirashi yang menumpaskan Andre Ilagan dari Amerika Syarikat manakala bagi kategori beregu milik pemain dari Korea Selatan, Jeong Yeongsook dan Shin Woobin.

Sumber: BERNAMA

Sumber gambar: Tennis Malaysia

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Tennis #SanctbandITFM15WorldTennisTour