fariszolkefli

8 PASUKAN REBUT GELARAN PIALA PRA U EDISI KETIGA

8 PASUKAN REBUT GELARAN PIALA PRA U EDISI KETIGA

November 22, 2023 6:21 am

GAMBANG, 22 NOVEMBER 2023 – Sebanyak lapan buah pasukan akademi bola sepak telah mengesahkan penyertaan dalam kejohanan Piala Pra U 2023 edisi ketiga yang akan bermula pada 25 hingga 30 November ini, di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang.

Menurut Pengarah Projek Piala Pra U, Datuk Dr Pekan Ramli, kejuaraan yang pertama kali disertai lapan pasukan akademi itu bertujuan menyediakan pentas kompetitif kepada pemain remaja negara.

Selain itu secara tidak langsung membuka ruang kepada pemain-pemain menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai pilihan alternatif sekiranya tidak ditawarkan oleh pasukan atau kelab Liga Malaysia (Liga-M).

“Tidak semua pemain-pemain akademi bola sepak ini nanti ditawarkan pasukan atau kelab bola sepak untuk Liga Malaysia.

“Ramai yang akan terpinggir. Lima tahun di akademi takkanlah ini penyudahnya. Jadi kita sediakan platform ini supaya mereka sambung belajar di IPT guna laluan khas sukan, belajar dan teruskan main bola,” katanya.

Antara pasukan yang menyertai kejohanan ini adalah Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) yang merupakan juara bertahan, Akademi Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (AJDT), Akademi Bola Sepak Penang Panther dan Mutiara Impian, Akademi Bola Sepak Sime Darby, Akademi Bola Sepak Felda (ABSF), Akademi Bola Sepak Majlis Sukan Negeri Terengganu (ABMSNT), dan Universiti Malaysia (MUFT).

Sebagai rekod, kejuaraan Piala Pra U merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan ia semakin menarik minat akademi-akademi bola sepak bertujuan untuk menyediakan satu persaingan yang kompetitif dalam kalangan pemain remaja kebangsaan.

 

Sumber: Sinar Harian

Sumber gambar: Sukan IPT

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #BolaSepak #PialaPraU2023