PETALING JAYA, 24 NOVEMBER 2023 – Berikutan prestasi cemerlang yang dipamerkan di Sukan Para Asia 2022, atlet renang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli menerima habuan tertinggi melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
Beliau yang meraih satu pingat emas dan satu gangsa membawa pulang insentif berjumlah RM110,000 yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Majlis Penyerahan Insentif SHAKAM, semalam.
Atleh olahraga para, Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi yang membawa pulang emas serta memecahkan rekod acara 400m T20 dan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin yang meraih emas acara 72kg masing-masing menerima insentif kedua tertinggi berjumlah RM90,000.
Pemain skuasy negara, S. Sivasangari pula menjadi penerima terbanyak bagi Temasya Sukan Asia Hangzhou dengan membawa pulang RM100,000 susulan kejayaannya meraih dua emas dalam acara individu dan berpasukan.
Manakala pemain skuasy lelaki, Ng Eain Yow menerima insentif kedua terbanyak berjumlah RM85,000 atas kejayaan meraih pingat emas acara individu dan gangsa berpasukan, diikuti atlet karate Muhammad Ariff Arifuddin yang membawa pulang RM80,000 selepas mengungguli acara kumite 84kg di Sukan Asia Hangzhou.
Selain itu, bagi menghargai jasa dan sumbangan jurulatih yang membantu atlet meraih pingat, sebanyak RM550,000 telah diperuntukkan di bawah Skim Galakan Jurulatih (SGAR) bagi kedua-dua temasya itu.
Kontinjen Malaysia menamatkan saingan Sukan Asia dengan kutipan enam emas, lapan perak dan 18 gangsa, manakala Sukan Para Asia mengumpul tujuh emas, 15 perak dan 17 gangsa.
SHAKAM yang diperkenalkan sejak 1986 diwujudkan bagi menghargai pencapaian atlet yang mengharumkan nama negara dalam beberapa temasya sukan seperti sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan SEA dan PARA Asean, selain kejohanan individu di peringkat dunia, Komanwel atau benua Asia.