Faris Zolkefli

KBS KOMITED PERKASA PEMBANGUNAN AKAR UMBI E-SUKAN

KBS KOMITED PERKASA PEMBANGUNAN AKAR UMBI E-SUKAN

November 28, 2023 5:54 am

KUALA LUMPUR, 28 NOVEMBER 2023 – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI) dan MOONTON Games telah mengadakan sidang media bersama untuk menyambut penutupan M5 Wild Card yang berlangsung di Malaysia, dan untuk menghantar pasukan esukan profesional negara yang akan bertanding di Kejohanan Dunia M5, semalam.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli, secara rasminya melepaskan pasukan profesional Mobile Legends: Bang Bang untuk bertanding di Kejohanan Dunia M5; dengan majlis pelepasan julung kalinya diadakan di Dewan Serbaguna Parlimen Malaysia.

Pelepasan atlet esukan profesional Malaysia di Parlimen ini merupakan satu acara mercu tanda dalam pembangunan esukan negara dan juga merupakan satu pengiktirafan pembangunan ekosistem esukan Malaysia; hasil daripada penyertaan langsung KBS untuk menggerakkan ekosistem ini sejak tahun 2019 lagi.

Pada tahun ini, esukan telah berjaya disenaraikan sebagai salah satu daripada 103 sukan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997. Esukan perlu berkembang dalam persekitaran yang positif dan merupakan sebahagian daripada inisiatif Rakan Muda; di mana promosi esukan boleh dianjurkan untuk belia pelbagai kaum lantas bergerak seiring dengan aktiviti bagi menggalakkan perpaduan serta pembinaan negara.

“Tahniah kepada pasukan Homebois dan Team SMG kerana berjaya menempatkan diri ke Kejohanan M5. Ucapan tahniah ini bukan hanya untuk para atlet sahaja, malah tahniah juga diucapkan kepada keseluruhan pasukan termasuklah jurulatih dan pengurus yang telah merangka strategi yang ampuh, serta para penyokong yang tidak jemu memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dalam membantu kedua-dua pasukan untuk terus melakukan yang terbaik. Tunjukkan kepada dunia semangat juang dan kemampuan anak Malaysia,” kata YB Adam Adli.

Tambahnya lagi, KBS dan ESI komited dalam meningkatkan lagi kerjasama dengan penerbit permainan seperti Moonton Games untuk memangkin ekosistem esukan yang rancak dan mampan di Malaysia.

“Tanpa sokongan dari semua pihak, kita tidak akan sampai sejauh ini. Tahun ini, dalam Sukan SEA ke-32 dan acara- acara ekosistem pihak ketiga lain, Malaysia telah berjaya membawa pulang pingat.

“Pada tahun 2024, kita ingin membuka lebih banyak peluang bagi rakan-rakan dan penggiat ekosistem, untuk bekerjasama dengan kami dalam mengangkat industri esukan mudah alih. Kami mempunyai pelbagai rancangan menarik pada tahun 2024, dan kami berharap lebih ramai akan menyertai usaha kami untuk menjadi yang terbaik.” kata Fikri Rizal Mahruddin, Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan MOONTON Games.

Team SMG dan HomeBois akan bersaing dengan empat belas pasukan antarabangsa yang lain untuk mendapatkan sebahagian besar daripada hadiah wang tunai sebanyak USD 900,000.00, serta merangkul gelaran pasukan Mobile Legends: Bang Bang terbaik di dunia, di Kejohanan Dunia M5 yang akan berlangsung di Manila, Filipina.

Wakil-wakil negara ini telah layak melalui Musim 12 MPL Malaysia, sebuah liga esukan profesional yang memberi peluang kepada pasukan esukan komuniti dan profesional untuk bersaing di peringkat global, atau mewakili Malaysia dalam acara pingat. Pada Sukan SEA ke-32 tahun ini, pasukan esukan MLBB negara meraih pingat perak dalam Kejohanan Lelaki.

Sumber gambar: KBS Malaysia

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Esports #TeamSMG #Homebois #MobileLegendsBangBang #MLBB