Faris Zolkefli

SOPMA XXI KEMBALI JADI MEDAN UKUR KEMAMPUAN ATLET PEKAK NEGARA

SOPMA XXI KEMBALI JADI MEDAN UKUR KEMAMPUAN ATLET PEKAK NEGARA

December 4, 2023 7:20 am

KUALA LUMPUR, 4 DISEMBER 2023 – Sukan Orang Pekak Malaysia kali ke 21 (SOPMA XXI) kini kembali lagi dengan menjanjikan sebuah temasya yang lebih gemilang dengan penyertaan lebih 800 atlet dari 14 negeri di seluruh Malaysia. Jumlah penyertaan ini dianggap yang paling ramai sejak SOPMA muncul dalam kalendar arena sukan negara. Turut memastikan perjalanan SOPMA XXI lancar adalah penglibatan lebih 100 orang sukarelawan yang telah dilatih dengan bahasa isyarat bagi membolehkan mereka berkomunikasi dengan atlet pekak.

SOPMA yang diadakan dua tahun sekali ini bermula dari 3 hingga 7 Disember 2023, dikhaskan untuk atlet-atlet pekak setaraf dengan Sukan Malaysia (SUKMA) bagi orang normal. Kali terakhir ia diadakan adalah pada 2018 di Ipoh, Perak sebelum tertangguh sekian lama ekoran penularan COVID-19. 

Majlis perasmian SOPMA XXI yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah di Stadium KLFA Cheras malam tadi membuktikan satu pengiktirafan tertinggi oleh Kerajaan Madani terhadap penglibatan golongan pekak dalam aktiviti sukan. 

Hadir sama memberi pengiktirafan serta memeriahkan SOPMA XXI adalah pihak AEON BiG yang diwakili oleh Pengarah Urusan, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed; selaku penaja utama sepanjang SOPMA XXI berlangsung dengan venue acara diadakan sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang. 

Penglibatan AEON BIG juga membuktikan bahawa pasar raya besar terkenal ini bukan sahaja terlibat dalam bidang perniagaan, malah sentiasa membantu komuniti dan menjalankan tanggungjawab sosial dan kemasyarakatan terhadap golongan kurang bernasib baik seperti orang pekak. 

Mengulas lanjut tentang penajaan daripada AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed memaklumkan bahawa sukan tanah air amat dekat di hati pihak Pengurusan AEON BiG. Untuk makluman, AEON BiG menjadi penaja kepada Malaysian Football League, Selangor FC dan Liga Besbol Kebangsaan 2023.

AEON BiG juga secara rasminya menerusi sebuah majlis yang diadakan pada 31 Ogos yang lalu telah menjadi rakan strategik untuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) / Harimau Malaya bersempena Pesta Bola Merdeka yang ke-42 yang telah berlangsung pada 13 dan 17 Oktober yang lalu, dan juga untuk Piala Asia di Qatar pada tahun 2024.

Di samping itu, SOPMA XXI juga mendapat kerjasama daripada Majlis Sukan Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan Negara serta agensi-agensi di bawah kementerian berkenaan dan juga dari beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

Lima acara utama diadakan sepanjang SOPMA XXI iaitu bola sepak (lelaki) di Padang MSN Bukit Jalil; futsal (wanita) di KLFA, Taman Melawati; boling (Ampang Superbowl USJ); badminton (TT Sport Centre Petaling Jaya) dan olahraga (Kompleks MPKJ Kajang). 

Sementara itu, Presiden MSDeaf, Ong Shin Ruenn berkata, SOPMA XXI menjadi medan untuk melahirkan atlet-atlet pelapis bagi membolehkan MSDeaf mengetengahkan bakat-bakat cemerlang ke arena sukan di peringkat antarabangsa yang akan diadakan di luar negara bermula 2024 dan 2025. 

Menurutnya, antara acara berpretasi tinggi bagi mengetengahkan atlet pelapis pekak dari SOPMA XXI ialah Deaflimpik iaitu yang setaraf dengan Sukan Olimpik dan Paralimpik, yang akan diadakan pada November 2025 di Jepun. 

Shin Ruenn memberitahu, bagi tahun 2024 sahaja sekurang-kurangnya ada empat temasya sukan peringkat antarabangsa yang disertai oleh atlet pekak Malaysia antaranya Kejohanan Olahraga Pekak Dunia pada Julai di Taiwan dan Kejohanan Sukan Pekak Asia Pasifik di Iran. 

Sehubungan itu, SOPMA XXI bakal menjadi platform bagi MSDeaf mencungkil bakat serta menyedia atlet-atlet berpotensi untuk dihantar menyertai sukan di peringkat antarabangsa pada 2024 dan 2025.

Sumber gambar: KBS Malaysia

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #SukanOrangPekakMalaysia2023 #SOPMAXXI #MSDeaf