fariszolkefli

DRA 2023 SERLAH POTENSI PELUMBA DRON NEGARA

DRA 2023 SERLAH POTENSI PELUMBA DRON NEGARA

December 5, 2023 7:18 am

KUALA LUMPUR, 5 DISEMBER 2023 – Kehebatan Marvin Schaepper, yang berasal dari Liechtenstein mengendalikan dron FPV (First Person View) dengan aksi memukau telah melayakkannya dirinya untuk diangkat sebagai juara sulung Drone Race Asia (DRA) 2023, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM8,425.

Tempat kedua dimenangi oleh Minjae Kim (Minjae) dari Korea, diikuti Worawit Subsri (Pepper FPV) dari Thailand dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,925 dan RM2,925. Pemenang keempat dan kelima pula adalah Christian Van Sloun (Amari) dari Amerika Syarikat dan Wan Ediyuzlan Wan Hussin (Vyn FPV) dari Malaysia.

Perlumbaan dron trek vertikal tertutup pertama dunia yang berakhir Ahad lalu, berlangsung di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur telah membabitkan penyertaan seramai 30 orang juruterbang dari Korea, Amerika Syarikat, Sepanyol, Thailand, Singapura dan juga Malaysia, bagi merebut hadiah wang tunai terkumpul sebanyak RM23, 400 (US$5,000).

Acara bersejarah ini dianjurkan bersama oleh Magic Beans Alchemy Sdn Bhd dan DRA Drone Racing Club serta diterajui oleh Drone Race Asia, persatuan perlumbaan dron FPV yang berpusat di Kuala Lumpur; dengan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, YB Hannah Yeoh pada Sabtu, 2 Disember.

Selain daripada perlumbaan kategori DRA Captain, terdapat juga perlumbaan kategori Rookie, dengan menyaksikan dominasi para pelumba Malaysia menyapu bersih tempat pertama sehingga kelima kategori tersebut.

Lim Sheng Xiong (LX) muncul juara kategori Rookie dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM680. Manakala, Jaysuman Pusppanathan (Dr Jay) dan Ahmed Feizal Sulaiman Khan (Obot) muncul sebagai naib juara dan tempat ketiga, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM480 dan RM380.

Menurut Pengarah Magic Beans Alchemy Sdn Bhd, YY Choy, pertandingan ini telah berjaya mendapat penyertaan pelumba dron dari seluruh dunia dan ini memberikan petanda positif bahawa perlumbaan dron seumpama ini akan mengukuhkan status Malaysia sebagai lokasi yang ideal pada masa akan datang.

Tambah YY, beliau juga sangat berbesar hati dengan sokongan Kerajaan Malaysia terutamanya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana telah memperuntukkan geran padanan berjumlah RM72,000 untuk penganjuran perlumbaan dron trek vertikal tertutup. Sebagai rekod, perlumbaan seumpama ini adalah yang pertama di dunia. Selain itu, komuniti Malaysia, Rakan Muda, MSAF, dan semua penaja yang mengambil bahagian telah membawa impak dan kejayaan besar untuk acara ini.

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menyatakan peruntukan geran padanan tersebut adalah untuk membantu pasukan negara menaikkan ranking dunia mereka. Sukan seumpama itu akan menjadi platform generasi muda untuk meluangkan masa dengan aktiviti bermanfaat berbanding melakukan perkara yang sia-sia.

“Mengikut Indeks Kesediaan Dron (DRI) 2023, industri dron Malaysia telah menduduki tempat pertama di Asia Tenggara. Malaysia telah menggunakan dron untuk meningkatkan produktiviti dalam pelbagai sektor, termasuk pertanian, kartografi, dan lain-lain. Di samping pelaksanaan praktikal ini, perlumbaan dron berkelajuan tinggi telah mendapat pujian antarabangsa, dan mengalami lonjakan populariti yang konsisten pada skala global,” kata Hannah.

Perlumbaan dron ini akan melalui persaingan melalui dron FPV di trek lumba yang dilengkapi khas dengan juruterbang dron akan memakai gogal (google) FPV. Dron ini dilengkapi dengan alat kawalan jauh dan kamera FPV. 

Perlumbaan realiti maya ini memberikan pengalaman yang menakjubkan, dengan kemampuan memecut sehingga 120km/j. Acara ini merupakan pertama di Malaysia dan juga di dunia yang menampilkan perlumbaan di trek vertikal pada kadar ketinggian 20 meter. Juruterbang dron akan diuji kecekapan mereka dengan trek unik, yang akan menekankan kelajuan dan ketepatan ketika mengendalikan halangan atau pintu yang ditetapkan dalam ruang tertutup dan terkurung.

Sumber gambar: Drone Race Asia

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #DroneRaceAsia #DRA2023