fariszolkefli

POCKETGP PEMANGKIN MASA DEPAN SUKAN PERMOTORAN DUA RODA

POCKETGP PEMANGKIN MASA DEPAN SUKAN PERMOTORAN DUA RODA

December 6, 2023 4:21 am

SEPANG, 7 DISEMBER 2023 – Seramai 23 pelumba cilik dan 3 peserta baharu telah menyertai PocketGP Open Track Day 2023 yang berlangsung di PETRONAS Sepang International Circuit pada 2 Disember lalu.

Program anjuran Persatuan Poket Bike Malaysia (PAM) ini disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Motorsports Association of Malaysia (MAM), PETRONAS Sepang International Circuit, ZK Racing, FIM MiniGP Malaysia, JBSN Selangor, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Sepang, dan Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur (ILPKL) Motorsport dengan tujuan untuk memberi pendedahan sambil menimba ilmu serta menunjukkan kemahiran peserta dalam kategori latihan yang berbeza.

“Jenama PocketGP menawarkan platform baharu untuk pembangunan bakat dan menjadi feeder kepada FIM MiniGP Malaysia. Ramai pelumba motosikal profesional yang berjaya memulakan perjalanan mereka dalam perlumbaan Pocket Bike seperti Hafizh Syahrin, Kasma Daniel serta Qabil Irfan yang baru sahaja berumur 11 tahun telah menjadi juara dunia pertama di FIM MiniGP World Series 2023.

“Perlumbaan PocketGP anjuran Persatuan Poket Bike Malaysia ini mewakili pembangunan akar umbi yang berpotensi untuk membawa komuniti bersama, memupuk bakat, dan menyumbang kepada ekonomi tempatan. Kebolehcapaian, keterjangkauan dan tumpuannya pada semangat kesukanan menjadikannya platform yang ideal untuk individu meneruskan minat mereka dalam perlumbaan motosikal,” kata Presiden PAM, Akhtar Ayub Mohammad Aslam.

Selain itu, 20 orang pelatih dari ILPKL ditugaskan sebagai marshal dalam acara ini dengan tujuan untuk membuka peluang kepada pelatih-pelatih ILPKL Motorsport untuk menimba ilmu berharga berkaitan peraturan penganjuran pertandingan sukan bermotor.

PocketGP merupakan platform permulaan terbaik untuk pelumba cilik terus maju di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dan mempromosikan Malaysia sebagai tempat pertandingan rasmi yang selamat dan sihat dalam sukan permotoran akar umbi dua roda di Petronas Sepang International Circuit.

Sumber gambar: Pocket GP

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #PocketGPOpenTrackDay2023 #PETRONASSepangInternationalCircuit #PocketBikeMalaysia