KEJOHANAN PARA RENANG KEBANGSAAN PENTAS LAHIRKAN PERMATA BAHARU
KEJOHANAN PARA RENANG KEBANGSAAN PENTAS LAHIRKAN PERMATA BAHARU
December 7, 2023 7:53 am
JOHOR BAHRU, 7 DISEMBER 2023 – Kejohanan Sirkit (2) Para Renang Kebangsaan 2023 yang akan berlangsung di Pusat Akuatik MBJB Larkin bermula Isnin depan akan menjadi platform bagi memilih atlet pelapis yang akan mewakili negara pada masa depan.
Menurut Jennifer Yong, Setiausaha Persatuan Para Renang Malaysia (PREPMA), pihaknya kini sedang mengenal pasti perenang berbakat yang bakal diserapkan ke dalam PRogram Pelapis (Paralimpik) di bawah Majlis Sukan Negara (MSN).
Kejohanan yang pertama kali dianjurkan oleh persatuan negeri itu akan turut mengadakan ujian klasifikasi untuk kelayakan menyertai acara renang bagi kategori masalah penglihatan dan pembelajaran.
“Kita akan menyenarai pendek mereka yang cemerlang dalam kejohanan ini supaya dapat diserapkan untuk program pelapis sepenuh masa di MSN.
“Sasaran kita untuk menyediakan atlet bagi SUkan Belia Para Asia (AYPG) 2025 di Uzbekistan, Sukan Para ASEAN di Korat, Thailand pada 2026 dan seterusnya Sukan Para ASEAN 2027, yang mana kita adalah tuan rumah,” katanya.
Tambahnya lagi, penganjuran kejohanan tersebut tepat pada masanya kerana satu mesyuarat akan diadakan antara PREPMA dan MSN berhubung pemilihan program pelapis tidak lama lagi.
Sementara itu, Presiden Persatuan Renang Para Johor (PREPJ) Alwiyah Talib berkata, kejohanan itu melibatkan kategori fizikal, masalah penglihatan dan pembelajaran.
Kejohanan yang akan berlangsung selama dua hari ini akan disertai oleh atlet kebangsaan, Nik Muhammad Joe Asyraf Nik Rafizal dan Muhammad Zhafri Adam Mohd Azmi daripada pasukan Selangor dan Duran Yaspi Imam Basri.