KUALA LUMPUR, 8 DISEMBER 2023 – Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA XXI) kali ke-21 yang berlangsung dari 3 hingga 7 Disember 2023, secara rasmi menutup tirainya malam tadi. Temasya yang setaraf dengan Sukan Malaysia (Sukma) itu akan kembali semula untuk bertemu para atlet pekak serta orang ramai pada 2025 di Kuching, Sarawak.
Sepanjang SOPMA XXI yang berlangsung di Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang, lima acara telah dipertandingkan iaitu olahraga, bola sepak (lelaki), futsal (wanita), badminton dan boling. SOPMA 2025 di Kuching pula bakal mengekalkan lima acara berkenaan, malah tambahan tiga acara baharu untuk atlet pekak turut diperkenalkan iaitu renang, ping pong dan orienteering.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn menganggap lapan acara sukan di SOPMA 2025 sebagai bukti bahawa aktiviti sihat seperti sukan melibatkan golongan orang pekak semakin berkembang pesat. Dengan kata lain, jumlah komuniti orang pekak semakin bertambah dan pada masa sama mereka ini sentiasa terlibat dengan aktiviti sihat melalui kesukanan. Ia juga sebagai bukti bahawa golongan orang pekak mampu menyertai aktiviti kesukanan sama seperti orang normal.
Mengenai SOPMA XXI, Ong Shin Ruenn berkata, sepanjang temasya berkenaan, ia bukan sahaja berjalan lancar, malah terbukti berjaya melahirkan barisan pelapis atlet muda yang berpotensi.
Pencapaian atlet-atlet berkenaan berjaya memenuhi matlamat MSDeaf dalam menyediakan skuad yang lebih mantap dalam menghadapi temasya sukan antarabangsa bagi tahun 2024. Tidak kurang empat temasya akan ditempuh bagi tahun 2024 melibatkan peringkat Asia Tenggara, Asia Pasifik dan Antarabangsa (Dunia) di luar negara. Skuad pelapis yang berjaya digilap bakat mereka dari SOPMA XXI ini juga akan diketengahkan untuk temasya Deaflimpik yang akan diadakan di Jepun pada 2025. Ini menjadi bukti bahawa MSDeaf sudah bersedia untuk menghadapi dan merangkul pingat-pingat bagi tahun 2024 dan 2025 di peringkat antarabangsa.
MSDeaf juga berharap kelangsungan sukan bagi orang pekak di Malaysia ini dapat diteruskan dengan kerjasama semua pihak terutama Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, pihak-pihak seperti AEON BiG dan syarikat-syarikat yang lain, agensi-agensi di bawah Jabatan Belia dan Sukan, pihak perubatan, keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), jurulatih-jurulatih sukan, para pengadil sukan, media, pusat-pusat pengajian yang menyediakan sukarelawan serta banyak lagi.
Sementara itu, mewakili pihak AEON BiG, Pengarah Urusannya, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed, yang menjadi penaja utama sepanjang SOPMA XXI, melahirkan rasa puas hati perjalanan temasya berkenaan.
AEON BiG, menganggap SOPMA XXI sebagai pencapaian terbaik dan amat besar bukan sahaja bagi MSDeaf, malah komuniti orang pekak di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Mengulas lebih lanjut, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berharap para atlet mendapat pengalaman yang cukup berharga sepanjang tempoh SOPMA ke-21 ini berlangsung. Beliau juga melihat, kerjasama antara AEON BiG dengan MSDeaf telah membentuk sebuah komuniti yang saling berganding rapat serta percaya-mempercayai dan ini merupakan satu tanggungjawab AEON BiG bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu.
Negeri Sabah muncul sebagai juara keseluruhan dengan mengumpul 35 pingat (16 emas, 13 gangsa dan enam perak) manakala Sarawak dinobatkan sebagai naib juara dengan sembilan buah pingat secara keseluruhan termasuk lima emas, satu gangsa dan tiga perak.
Tempat ketiga jadi milik Kontinjen Kedah dengan meraih 11 pingat secara keseluruhan menewaskan pasukan tuan rumah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.