LABUAN, 13 DISEMBER 2023 – Wilayah Persekutuan Labuan bakal menghimpunkan peminat sukan tempur serta menyaksikan keunggulan dan semangat seni tempur dari seluruh negara bagi memeriahkan Borneo Martial Art Expo (BMAEX) yang akan berlangsung di Palm Beach Resort, Labuan bermula dari 15 hingga 17 Disember ini.
Berbeza dengan edisi lalu yang hanya menganjurkan ceramah dan juga seminar mengenai seni mempertahankan diri, BMAEX edisi ke-6 ini bakal menjanjikan aksi menarik daripada pelbagai disiplin seni mempertahankan diri dengan pengamal yang berbeza-beza seperti Wushu, Silat, Kung Fu, Muay Thai dan Taekwondo yang akan berkongsi pentas bersama-sama sukan tempur moden seperti Brazilian jiu-Jitsu, MMA dan juga Kickboxing; sekali gus mempamerkan kekayaan warisan dan evolusi teknik sukan tempur di Malaysia dan seluruh rantau.
Antara aktiviti yang menjadi tumpuan bagi BMAEX pada kali ini adalah Super-fight yang akan menampilkan peserta seni sukan tempur yang telah dedikasikan masa mereka mengasah bakat dan menempuh pelbagai pertandingan sepanjang tahun 2023 untuk dipersembahkan di hadapan para penonton. Perlawanan seperti low-kick kickboxing dan full contact kickboxing semestinya bakal memberikan pengalaman mengujakan buat para penonton yang hadir.
Selain itu, BMAEX juga akan mengadakan majlis penganugerahan kepada pengamal seni mempertahankan diri bagi menghargai jasa dan keringat mereka dalam menaikkan sukan seni tempur dan sumbangan mereka bagi menambah baik komuniti menerusi seni mempertahankan diri.
BMAEX bukan sahaja sebagai sebuah acara dan juga pertandingan, ia adalah sebuah perayaan tentang seni mempertahankan diri, semangat setiakawan dan wadah bagi menyatukan sesama insan. Ia juga adalah acara yang merangkumi nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, perpaduan dan mengingatkan kita semua bahawa sukan mempunyai kuasai untuk menyatupadukan dan bertukar budaya.