KUALA LUMPUR, 14 DISEMBER 2023 – Persekutuan Luncur Beroda Malaysia (MySKATE) menjalinkan kerjasama dengan pasukan papan selaju profesional, The Razkals dengan menghantar dua atlet dibawah naungannya ke Tokyo, Jepun untuk menyertai Kejohanan Dunia Street, Jelajah Papan Selaju Dunia (WST).
Muhammad Mer Nullah Khan atau lebih dikenali sebagai Momo Khan, 13 tahun dan Mahathir Nor Daniel, 14 tahun kini berada di Tokyo, Jepun untuk menyertai Kejohanan Dunia Street, Jelajah Papan Selaju Dunia (WST) sebagai pendedahan awal bagi mempersiapkan atlet negara menghadapi kejohanan bertaraf dunia, selain layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Pengurus pasukan the Razkals, Shahrizul Ikwan Hussain dalam kenyataanya berkata, beliau teruja dapat memulakan program pendedahan ini lebih awal agar kedua-dua atlet itu bersedia untuk menghadapi cabaran yang bakal ditempuhi di masa hadapan.
“Pendedahan awal di Tokyo ini sangat penting kerana ramai jaguh sukan papan selaju yang sudah menjadi juara di kejohanan ternama dunia adalah dari Jepun pada usia yang sangat muda.
“Kami mahu Momo dan Mahathir merasai pengalaman berkongsi gelanggang dengan yang terbaik di dunia dan melihat sendiri bagaimana latihan serta cara permainan atlet-atlet profesional dari seluruh dunia di hadapan mata mereka sendiri,” jelas beliau.
Sementara itu, Presiden MySKATE, Idroose Tambarin akui Momo dan Mahathir mempunyai potensi tinggi untuk bersaing dengan atlet profesional luar negara di masa hadapan.
“Momo dan Mahathir sudah menunjukkan mereka mampu untuk menjadi atlet berprestasi tinggi apabila sudah memenangi banyak kejohanan tempatan pada usia yang sangat muda.
“Pada Oktober, Mahathir berjaya mendapat tempat ketiga dalam penyertaan kejohanan sulung antarabangsanya di Bali, Indonesia, manakala Momo berada di tempat kesembilan,” jelas Idroose.
Masa depan sukan papan selaju negara juga tampak semakin cerah apabila The Razkals dan MySKATE juga bersetuju untuk mewujudkan kerjasama termasuk membangunkan sebuah master plan untuk memastikan Malaysia mempunyai atlet yang layak untuk mewakili negara dalam sukan papan selaju di Olimpik Los Angeles 2028.
“Kami juga menyokong usaha dan bersetuju untuk bekerjasama dengan pasukan the Razkals kerana pihak pengurusannya mempunyai pengalaman yang luas dalam pembangunan atlet dan pernah menguruskan pembangunan atlet sukan ekstrem Malaysia di bawah persatuan terdahulu, Persatuan Sukan Ekstrem Malaysia (ESAM).
“Di bawah ESAM, mereka menguruskan pembangunan sukan atlet sukan ekstrem, selain menganjurkan sirkit kejohanan sukan ekstrem dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).”
“Kami juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai kepakaran dan mana-mana penaja yang mendukung aspirasi pembangunan belia negara untuk mengangkat sukan skateboarding menjadi lebih daya saing di peringkat global untuk bersama-sama dengan MySKATE dan The Razkals untuk membangunkan sukan papan selaju.” tambah Idroose.
Difahamkan, pemenang emas Olimpik papan selaju yang pertama kali diadakan pada Tokyo 2020 iaitu Yuto Horigome turut akan membuat penampilan di jelajah dunia di Tokyo (Kejohanan Dunia Street Tokyo WST) yang bakal diadakan di Ariake Urban Sports Park dari 10-17 Disember.
Jejalah dunia ini turut menawarkan mata kelayakan bagi temasya Olimpik Paris 2024 namun sasaran utama MySKATE dan The Razkals adalah membangunkan bakat muda tanah air bagi melayakkan diri beraksi di Los Angeles 2028 dan kejohanan-kejohanan lain.