Faris Zolkefli

KOD SUKAN SELAMAT DIPERLUAS LAGI TAHUN DEPAN

KOD SUKAN SELAMAT DIPERLUAS LAGI TAHUN DEPAN

December 15, 2023 7:53 am

KUALA LUMPUR, 15 DISEMBER 2023 – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan pelaksanaan Kod Sukan Selamat diperluas ke peringkat akar umbi dalam usaha mewujudkan persekitaran sukan yang selamat dan harmoni bermula pada tahun depan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, Kod Sukan Selamat adalah garis panduan perlu dipatuhi semua pihak yang terlibat dalam apa-apa acara, pertandingan dan kejohanan sukan termasuk ibu bapa.

Sebagai contoh, Hannah berkata, beliau enggan lagi melihat insiden pengadil atau pasukan lawan diserang ibu bapa ketika sesuatu permainan sukan sedang berlangsung.

“Saya tak nak tengok video yang bila seorang anak kalah, ibu bapa marah pengadil, marah pasukan lawan (kerana) itu adalah persekitaraan sukan yang tidak selamat dan tidak sihat.

“Jadi tahun depan kita akan tekankan pelaksanaan Kod Sukan Selamat supaya semua yang terlibat tahu mengenai tanggungjawab masing-masing termasuk anak-anak kecil,” katanya ketika ditemui pada kejohanan Pink Blitz Touch Rugby Porto ‘23 di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, semalam.

Tambahnya lagi, selain perlu menyediakan laporan sekiranya terdapat insiden pergaduhan, penganjur atau pihak sekolah juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan peraturan dan garis paduan diikuti semua pihak.

“Ibu bapa tak boleh masuk (ganggu perlawanan) dan cikgu-cikgu sekolah jangan takut pada ibu bapa. Kita nak pastikan ada trend untuk lapor dan ada tindakan yang diambil,” katanya.

Pada masa sama, Hannah berkata, KBS perlu bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi melicinkan usaha pelaksanaan Kod Sukan Selamat di sekolah selepas mendapati kod itu tidak sampai ke pengetahuan keseluruhan pelajar.

Beliau berkata, kesemua kes yang telah diterima KBS akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa peringkat tertinggi yang turut melibatkan KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata, KBS akan berjumpa dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bulan depan bagi menetapkan garis panduan berhubung pelepasan cukai untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

Terdahulu, Hannah merasmikan kejohanan ragbi sentuh bawah 12 tahun dan bawah 10 tahun di sini yang disertai 20 pasukan dari sekolah seluruh negara.

Pengarah kejohanan, Abdul Hafiz Abdul Rahman berkata, ia merupakan edisi sulung dan bercadang menjadikan sebagai acara tahunan dalam usaha mempromosikan lagi sukan itu dalam kalangan pelajar sekolah.

Sumber: BERNAMA

Sumber gambar: Hannah Yeoh

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #KodSukanSelamat #KBSMalaysia