Faris Zolkefli

KELANTAN HANTAR SKUAD KRIKET TERKUAT SUKMA 2024

KELANTAN HANTAR SKUAD KRIKET TERKUAT SUKMA 2024

December 18, 2023 8:38 am

GUA MUSANG, 18 DISEMBER 2023 – Persatuan Kriket Negeri Kelantan mengesahkan pihaknya akan menghantar sebuah pasukan yang kuat ke temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak pada tahun hadapan.

Menurut Yang Dipertua Kriket Kelantan, Datuk Azmi Mohd. Ali, pengesahan penyertaan skuad kriket Kelantan itu dibuat dalam mesyuarat agung tahunan persatuan itu yang berlangsung di Gua Musang, kelmarin.

Pihaknya akan memperincikan segala perbelanjaan untuk membolehkan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan menghulurkan bantuan dalam persediaan pasukan itu dan penyertaan Kelantan dalam pelbagai pertandingan di peringkat kebangsaan kelak.

”Saya bersedia berjumpa dengan Pengarah MSN Kelantan untuk berbincang dan memberi keyakinan bahawa pasukan kriket Kelantan tetap bertenaga dan sentiasa mengukir nama di peringkat kebangsaan,” kata Azmi.

Untuk tujuan itu, Azmi berkata setiausaha baharu Persatuan Kriket Negeri Kelantan, Muhamad Shafiey ditugaskan bersama penolong setiausahanya, Zul Aizat Ismail untuk menyediakan persiapan belanjawan untuk dihantar segera kepada Penolong Pengarah MSN  Kelantan, Nor Fadhilah Junkipili.

“Kepemimpinan baharu Kriket Kelantan yang akan bermesyuarat pada 23 Disember 2023 akan turut sama mengharungi bajet 2024 di samping merangka semula kegiatan termasuk pertandingan di peringkat negeri Kelantan dan memulihkan semula program pembangunan anak-anak Orang Asli,” katanya.

Dalam pada itu, pemilihan anggota majlis bagi musim 2023-2025 menyaksikan, Azmi kekal sebagai Yang Dipertua manakala Wan Mohd, Nasir Omar naik pangkat menjadi Timbalan Yang Dipertua.

Pengerusi Teknik Kriket MSS Kelantan, Muhamad Shafiey menggantikan Sukeri Ibrahim sebagai setiausaha manakala Wan Ridhauddeen Rashid dipilih sebagai bendahari.

Sumber: Utusan

Sumber gambar: Persatuan Kriket Negeri Kelantan

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Cricket #CricketMalaysia