fariszolkefli

BUMI HANG TUAH TUAN RUMAH ACIR 2024

BUMI HANG TUAH TUAN RUMAH ACIR 2024

December 19, 2023 6:29 am

MELAKA, 19 DISEMBER 2023 – Buat julung kalinya Melaka bakal menjadi tuan rumah bagi acara sukan perahu layar iaitu ASEAN Cup International Regatta (ACIR) 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 27 Oktober tahun hadapan bertempat di Encore Klebang, dengan penyertaan seramai 1,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, penganjuran ACIR itu turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri dan Victoria Sailing Academic Institute of Hong Kong melibatkan peserta dari negara serantau selain Jepun, China, Korea Selatan, Hong Kong, Macau, dan Taiwan.

“Pertandingan bertaraf antarabangsa ini akan berlangsung di Encore Meaka, Kota Laksamana dan kita difahamkan pihak penganjur telah membuat kajian lebih awal sejak tahun lepas mengenai kedudukan arah angin yang sesuai dijalankan acara itu pada bulan tersebut.

“Penganjuran ACIR ini juga dilihat dapat mempromosi negeri ini yang turut menyambut Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) sekali gus menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia,” katanya.

Ab Rauf berkata kerajaan negeri akan menyediakan segala prasarana dan kemudahan untuk persediaan penganjuran pertandingan tersebut.

Beliau berkata pelbagai aktiviti menarik juga diadakan sempena acara itu seperti Kampung Regatta, simulator pelayaran, pengalaman berlayar, festival muzik dan kebudayaan ASEAN, pameran dan lain-lain.

“Penganjuran ini dilihat dapat memberi impak ekonomi dengan melibatkan penduduk tempatan dalam pelbagai aktiviti komersial termasuk penginapan, pengangkutan dan perkhidmatan makanan selain menarik potensi perdagangan dan pelaburan untuk pelancongan dan aktiviti berkaitan sukan di Melaka,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Sumber gambar: Ab Rauf Yusoh

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #ASEANCupInternationalRegatta