fariszolkefli

NG JING XUEN CURAH ILMU DI JUNIOR GOLF SUMMER CAMP 2023

NG JING XUEN CURAH ILMU DI JUNIOR GOLF SUMMER CAMP 2023

December 20, 2023 7:20 am

JASIN, 20 DISEMBER 2023 – Seramai 26 peserta berusia antara lapan hingga 16 tahun telah menamatkan Program Junior Golf Summer Camp 2023 anjuran One Professional Golf Academy dengan kerjasama The Weststar Group.

Program yang berlangsung pada 18 hingga 19 Disember yang bertempat di Jasin Heritage Golf Club ini mendapat sentuhan pemenang pingat emas acara golf di Sukan SEA Kemboja 2023, Ng Jing Xuen yang mencurahkan pengalaman terbaiknya untuk peserta program ini.

Pengasas One Professional Golf Academy, Mohd. Irwan A. Rahman berkata, program selama dua hari itu bertujuan untuk memberi pengalaman dan pendedahan kepada para peserta mengenai dunia profesional sukan golf.

Menurutnya, kerjasama yang terjalin dengan The Weststar Group berjaya merealisasikan projek perintis tersebut untuk memperkasa sukan golf di peringkat akar umbi.

“Program ini mengetengahkan jurulatih-jurulatih golf profesional tanah air dan penampilan istimewa Jing Xuen, pemain golf pertama wanita negara yang memenangi emas individu di Sukan SEA Kemboja 2023.

“Para peserta berusia lapan hingga 16 tahun ini sangat bertuah kerana mendapat tunjuk ajar daripada atlet yang melakar sejarah golf profesional negara, malah dinilai berdasarkan aspek teknikal, fizikal serta mental,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Program Junior Golf Summer Camp 2023.

Tambah Mohd. Irwan, penilaian amat penting kerana dapat membantu peserta memperbaiki kemahiran daripada segi pukulan, postur tubuh badan, stamina dan kekuatan mental.

Katanya, pihaknya bercadang memperluaskan program itu kepada empat zon tahun depan di Kedah, Johor, Melaka dan Selangor.

Sumber: Utusan

Sumber gambar: Majoriti

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Golf #GolfMalaysia #JuniorGolfSummerCamp2023