OCBC CYCLING KUALA LUMPUR 2024 PERTANDING ACARA KANAK-KANAK
OCBC CYCLING KUALA LUMPUR 2024 PERTANDING ACARA KANAK-KANAK
December 28, 2023 7:55 am
KUALA LUMPUR, 28 DISEMBER 2023 – Selepas menerima sambutan yang hangat pada edisi lalu, OCBC Cycling Kuala Lumpur 2024 kini kembali menggegarkan ibu kota dengan sasaran penyertaan sebanyak 3,000 peserta.
Acara ini dijadualkan berlangsung pada 3 Mac 2024, dengan penganjur perlumbaan iaitu OCBC menjanjikan kelainan pada anjuran kali ini yang pasti membuka ruang dan peluang untuk peserta menikmati panorama sekitar ibu kota.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim yang hadir merasmikan majlis pelancaran menzahirkan ucapan tahniah kepada penganjur OCBC bank kerana secara konsisten menganjurkan perlumbaan berkenaan bermula sejak 2015.
Katanya, kerjasama erat bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membawa acara ini ke tahap gemilang bukan saja menjadi tarikan warga kota tetap pengikat sukan dan pelancong.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melihat acara berbasikal ini bukan semata-mata dalam kerangka acara sukan bersifat perlumbaan tetapi melihatnya sebagai aktiviti penting dalam meningkatkan tahap pembudayaan sukan dan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Sudah tentu acara seperti ini mempunyai potensi sebagai ruang menyerlahkan bakat namun kita mahu acara seperti ini menjadi kesempatan untuk menarik lebih ramai rakyat Malaysia memikirkan tentang kepelbagaian peranan aktiviti sukan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Saingan akan bermula dan berakhir di Dataran Merdeka dengan menawarkan dua kategori untuk saingan elit membabitkan laluan sejauh 41 kilometer (km) dan 21 km.
Manakala acara push bike dianjurkan untuk kategori kanak-kanak berumur dari tiga hingga tujuh tahun yang mana ia dilihat sebagai satu platform terbaik untuk memperkenalkan sukan berbasikal ini secara lebih meluas kepada golongan akar umbi.