Faris Zolkefli

GOLF TERBUKA MALAYSIA KEMBALI, BERNILAI HAMPIR RM4.6 JUTA

GOLF TERBUKA MALAYSIA KEMBALI, BERNILAI HAMPIR RM4.6 JUTA

December 29, 2023 7:53 am

KUALA LUMPUR, 29 DISEMBER 2023 – Kejohanan golf Terbuka Malaysia kini kembali selepas tiga tahun terhenti akibat pandemik COVID-19, dengan edisi 2024 dijadualkan di bawah Jelajah Asia bermula dari 15 hingga 18 Februari bertempat di Mines Resort and Golf Club.

Bagi menarik lebih ramai pemain golf terkemuka, pihak penganjur cuba menjadikan acara bernilai AS$1 juta itu (kira-kira RM4.6 juta) sebagai salah satu kejohanan kelayakan untuk kejohanan British Open (The Open) 2024 yang berprestij.

Menurut Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, pihakya telah membuat permohonan kepada penganjur The Open, Royal & Ancient (R&A) Golf Club of St Andrews di United Kingdom bagi mendapatkan status kelayakan itu.

“Kami masih menunggu pengesahan R&A, dan pengumuman akan dibuat oleh Pesuruhjaya Jelajah Asia. Jika R&A mengesahkan dua atau tiga pemain terbaik layak ke The Open, saya pasti ramai pemain golf terbaik akan tampil bermain (di Terbuka Malaysia),” katanya.

Kejohanan The Open ke-152 dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 21 Julai di Kelab Golf Royal Troon di Scotland. Dimulakan pada 1860, The Open ialah kejohanan golf tertua di dunia yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai AS$16.5 juta pada edisi 2023.

Sementara itu, Mohd Anwar berkata 25 hingga 28 pemain golf Malaysia, termasuk empat pemain amatur, akan berpeluang untuk bertanding dalam Terbuka Malaysia, yang kali terakhir diadakan pada Mac 2020 di Kelab Golf dan Desa Kota Permai, Shah Alam.

Tambah beliau, pemain golf popular Gavin Green, Shahriffuddin Ariffin, Ben Leong dan Ervin Chang telah layak berdasarkan kedudukan mereka, manakala pemain-pemain lain akan disahkan kemudian berdasarkan kepada ranking mereka dalam Jelajah Golf Profesional Malaysia (PGM) 2023 (dikenali sebagai Toyota Tour).

Terdahulu, firma pelaburan IRS Prima Holding diumumkan sebagai penaja kejohanan Terbuka Malaysia bermula dari 2024 hingga 2026.

Mohd Anwar berkata, IRS Prima Holding akan menampung wang hadiah AS$1 juta setahun di samping menyokong perbelanjaan lain berkaitan penganjuran kejohanan itu, dan penambahan jumlah hadiah akan disemak semula untuk edisi 2027.

Trevor Simsby dari Amerika Syarikat merangkul gelaran juara pada tahun 2020 selepas memenangi playoff tiga penjuru menentang pemain Australia Andrew Dodt dan Jarin Todd dari Amerika.

Pencapaian terbaik pemain golf tempatan sejak penganjurannya pada 1962 adalah kejayaan mendiang P.Gunasegaran menduduki tempat kedua pada edisi 1994, selepas tewas kepada pemain Sweden Joachim Haeggman dalam aksi lapan lubang yang mendebarkan pada playoff.

Sumber: BERNAMA

Sumber gambar: Malaysian Golf Association

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Golf #GolfMalaysia #GolfMalaysiaOpen2024