haziq

NHDP KEKAL RELEVAN, KILANG BAKAT BAHARU SUKAN HOKI NEGARA

NHDP KEKAL RELEVAN, KILANG BAKAT BAHARU SUKAN HOKI NEGARA

January 5, 2024 7:44 am

KUALA LUMPUR, 5 JANUARI 2024 – Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memberikan pujian kepada Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) dalam satu semakan yang dilakukan pada Rabu.

Mesyuarat antara Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal bersama peneraju NHDP, S. Velappan dan kakitangan yang lain turut melakar beberapa pelan tindakan baharu bagi kalendar tahun ini dengan kemuncaknya pada Piala Mirnawan yang akan diadakan pada September nanti.

“Kami mengadakan pertemuan dengan presiden MHC dan menjelaskan rancangan kami untuk tahun ini iaitu meneruskan asas dalam kalangan golongan muda manakala kumpulan Bawah 17 tahun akan berlatih di negeri mereka dan kemudiannya berkumpul untuk empat sesi tahun ini dengan tujuan untuk memilih pasukan lelaki dan perempuan yang kuat untuk Piala Mirnawan Jemputan Antarabangsa yang dijadualkan pada bulan September.

“Pelan tahun ini jugak akan lebih fokus kepada kemahiran jurulatih untuk membangunkan kaedah permainan standard di seluruh negara agar apabila pemain bermain peringkat kebangsaan, akan ada persamaan dalam ‘gaya permainan Malaysia’,” jelas Velappan.

NHDP kini mempunyai 111 pusat latihan (lelaki dan perempuan) di seluruh negara yang dikendalikan oleh 220 jurulatih dengan kira-kira 5,000 pelatih di peringkat Bawah 14 dan Bawah 17 Tahun.

Sewaktu penganjuran Piala Dunia Remaja bulan lepas, Jurulatih Pasukan Jerman, Rein van Eijk turut mengakui beliau ada mendengar  tentang NHDP dan kagum dengan keazaman Malaysia untuk mempunyai kumpulan besar pemain hoki di pelbagai peringkat.

“Memandangkan JWC akan diadakan setiap dua tahun (bukan empat tahun sebelumnya) NHDP boleh membantu mencari pemain di seluruh negara dan membawa yang terbaik untuk Piala Mirnawan di mana mereka akan bermain pasukan antarabangsa dan standard mereka boleh diukur.

“Yang terbaik dalam Piala Mirnawan juga akan mendapat peluang untuk menjadi pelatih JWC dan akhirnya menyarungkan warna kebangsaan. Dengan cara ini, perkembangan lebih sistematik dan pemain terbaik di seluruh negara boleh dikenal pasti oleh sesungut NHDP yang merentas negara, ” kata Velappan.

Piala Mirnawan adalah acara Bawah 17 Tahun dan tahun lalu, 11 pasukan dari lima negara bertanding pada edisi kedua menyaksikan penyertaan pasukan gergasi dari Afrika Selatan, India, Australia dan Jepun, manakala Malaysia menurunkan pasukan lelaki dan perempuan mereka.

Sumber: New Straits Times

Sumber gambar: MHC / NHDP

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #HokiMalaysia #MHC #NHDP #PialaMirnawan