ATLET OLAHRAGA GAGAL DOPING SAH DIGANTUNG DUA TAHUN
ATLET OLAHRAGA GAGAL DOPING SAH DIGANTUNG DUA TAHUN
January 10, 2024 7:59 am
KUALA LUMPUR, 10 JANUARI 2024 – Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya telah menerima satu laporan Adverse Analytical Finding (AAF) iaitu penemuan bahan terlarang dalam sampel urin milik seorang atlet olahraga yang diambil semasa Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Februari tahun lalu.
Atlet itu difahamkan beraksi dalam acara lompat tinggi telah menyaksikan laporan dari Makmal Anti-Doping, Doha, Qatar menemui sampel bahan terlarang dalam kelas S.6 Stimulants – sibutramine.
Sibutramine merupakan bahan yang disenaraikan dalam senarai bahan yang dilarang penggunaannya semasa pertandingan oleh World Anti Doping Agency (WADA).
Pihak ADAMAS telah memaklumkan atlet yang terlibat mengenai keputusan analisis makmal tersebut melalui pemberitahuan pertama dan notis pertuduhan pelanggaran peraturan anti-doping.
Setelah menerima notis pertuduhan tersebut, atlet telah memohon secara bertulis untuk diadakan satu sesi pendengaran di hadapan Panel Pendengaran Anti-Doping Malaysia.
Ketika ini, atlet tersebut juga telah digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan atau pertandingan lain sehingga keputusan proses pendengaran diumumkan.
Selaras dengan Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021 dan World Anti-Doping Code 2021, Panel Pendengaran Anti-Doping Malaysia telah memutuskan bahawa atlet tersebut telah membuat pelanggaran Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021 dan digantung daripada sebarang penyertaan sukan selama dua tahun bermula daripada 2 Jun 2023 sehingga 1 Jun 2025 (11.59PM).
Bagaimanapun, atlet tersebut boleh mengemukakan rayuan secara bertulis terhadap keputusan ini selewat lewatnya 24 Januari 2024 kepada pihak ADAMAS.