Faris Zolkefli

CAPTAIN MARVEL SERAH BATON KE VIRANDEEP

CAPTAIN MARVEL SERAH BATON KE VIRANDEEP

January 11, 2024 9:05 am

KUALA LUMPUR, 11 JANUARI 2024 – Kapten pasukan kriket negara Ahmad Faiz Mohammad Noor yang mencipta rekod sebagai pemukul dan beraksi cemerlang di dalam dan di luar padang sehingga beliau diberi nama jolokan ‘Captain Marvel’, melepaskan jawatannya kepada Naib Kapten Virandeep Singh, semalam.

Ahmad Faiz dalam satu kenyataan hari ini berkata kini adalah masa yang sesuai untuk beliau menyerahkan tampuk pemerintahan kepada kapten baharu selepas 10 tahun memimpin pasukan kebangsaan sejak 2013.

“Saya terhutang budi kepada bekas naib kapten saya Mohd Anwar Arudin dan naib kapten saya sekarang, Virandeep Singh yang berbakat.

“Selain itu, bimbingan dan sokongan daripada pengurus pasukan dahulu dan sekarang dan sudah tentu jurulatih kami yang kesemuanya telah memainkan peranan penting dalam membentuk pasukan dan membawa kami ke tahap sekarang,” katanya dalam satu kenyataan Malaysia Cricket semalam.

Pemain berusia 35 tahun itu memulakan perjalanannya dalam sukan kriket yang diperkenalkan oleh bapanya pada usia tujuh tahun dan kemuncak kerjayanya apabila menjadi kapten untuk pasukan lelaki negara pada 2013.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kriket Malaysia, Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali berterima kasih kepada Ahmad Faiz atas dedikasinya selama bertahun-tahun sebagai kapten pasukan lelaki negara.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kami atas sumbangan dan pengorbanan anda yang tidak jemu untuk sukan ini dan untuk ‘negara tercinta’ kami. Tahniah kepada Kapten yang akan datang, Virandeep,” tambahnya.

Virandeep mengambil alih tugas sebagai kapten bermula dari lawatan persiapan ke Sri Lanka dan Hong Kong bermula semalam hingga 10 Februari, sebagai persediaan menghadapi International Cricket Council (ICC) Cricket World Cup (CWC) Challenge League playoff, pada 22 Februari hingga 3 Mac ini di laman sendiri.

Sumber: BERNAMA

Sumber Gambar: Malaysian Cricket Association

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Cricket #CricketMalaysia