fariszolkefli

PERMOHONAN GERAN PROGRAM BELIA DAN SUKAN KINI DIBUKA

PERMOHONAN GERAN PROGRAM BELIA DAN SUKAN KINI DIBUKA

January 19, 2024 3:21 am

KUALA LUMPUR, 19 JANUARI 2024 – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa komited dalam memperkasakan pembangunan belia dan sukan terutamanya menerusi penganjuran program dan aktiviti pembangunan belia dan sukan. 

Usaha ini memerlukan penglibatan semua pemegang taruh berkaitan seperti badan sukan, pertubuhan belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan entiti swasta/ korporat secara inklusif, selain penyertaan atlet yang mewakili Malaysia ke kejohanan-kejohanan sukan bertaraf antarabangsa yang akan memberikan impak kepada negara.

Sehubungan itu, KBS ingin menyediakan ekosistem yang boleh mendayaupayakan penglibatan pemegang taruh dengan menyediakan beberapa dana, untuk diakses oleh pemegang taruh demi kemajuan dan pembangunan belia dan sukan

Antara dana yang diperuntukkan adalah Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi menganjurkan program dan aktiviti berkaitan sukan di peringkat kebangsan dan antarabangsa, termasuk penyertaan atlet (termasuk independent athlete) dalam kejohanan bertaraf antarabangsa.

Selain itu, KBS turut menyediakan Geran Padanan Sukan (GPS) bagi menganjurkan program dan aktiviti pembangunan sukan termasuklah penganjuran acara sukan di bawah kategori prestasi tinggi, spesifikasi tinggi dan berimpak tinggi di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa yang dilaksanakan di dalam negara. 

Dana Sukan Komuniti (DSK) bagi merakyatkan dan membudayakan sukan ke arah menjadikan Malaysia negara bersukan serta menyokong gaya hidup cergas dan sihat. DSK adalah bagi menganjurkan program dan aktiviti sukan akar umbi merangkumi peringkat negeri, daerah, parlimen, DUN, kampung, taman perumahan dan seumpamanya.

Dana Bantuan (Pembangunan Belia) KBS disediakan khas untuk memacu pelaksanaan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 (MPBM 2030) melalui penglibatan semua pemegang taruh. KBS telah menyediakan bantuan pembiayaan kewangan bagi menganjurkan program dan aktiviti pembangunan belia di peringkat antarabangsa, kebangsaan, negeri dan daerah.

Penyediaan geran/dana ini juga akan memperkasakan industri sukan melalui penganjuran program-program sukan dan membantu memulihkan ekonomi sektor ini yang telah terkesan akibat wabak COVID-19.

Permohonan bagi dana-dana di atas adalah tertakluk kepada terma dan syarat. Penganjuran aktiviti berkaitan pembangunan sukan adalah berdasarkan kepada jenis sukan yang tersenarai di dalam Perintah Pembangunan Sukan (Pindaan Jadual Pertama) 2023, Akta Pembangunan Sukan 1997 yang boleh dimuat turun dari laman web KBS.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang KBS (https://www.kbs.gov.my/home) bagi memohon secara dalam talian dan mendapatkan maklumat dengan lebih terperinci.

Sumber Gambar: Hannah Yeoh

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #GeranPadananSukan #KumpulanWangAmanahSukanNegara #DanaSukanKomuniti #DanaBantuanKBS