haziq

509 PEMAIN SERTAI KEJOHANAN BADMINTON REMAJA NCT SIRI PERTAMA

509 PEMAIN SERTAI KEJOHANAN BADMINTON REMAJA NCT SIRI PERTAMA

January 23, 2024 7:31 am

KUALA LUMPUR, 23 JANUARI 2024 – Kejohanan Badminton Remaja NCT bagi usia 9 hingga 15 tahun anjuran NCT Alliance mempunyai misi besar dalam membentuk masa depan badminton negara.

Seramai 509 pemain dari seluruh negara berhimpun selama tiga hari di Melaka bagi kejohanan siri pertama yang diadakan hujung minggu lalu mempertandingkan 14 kategori.

Menurut penganjur kejohanan, Datuk Seri Yap Ngan Choy, kejohanan ini merupakan medan terbaik mencungkil bakat pemain tempatan menerusi 5 siri yang diadakan di 5 negeri berbeza.

“Komitmen kami terhadap pemerkasaan bakat-bakat muda melangkaui tajaan peribadi. Ini termasuk menyediakan platform untuk bakat-bakat generasi baru menyinar dan meningkat maju.

“Kejohanan Road to NCT Junior Badminton Championship ini adalah bukti komitmen dan dedikasi kami terhadap usaha membentuk masa depan badminton negara,” jelas Ngan Choy.

Siri dua akan bersambung di Pahang pada bulan depan diikuti Selangor pada bulan Mac, Sabah (April), Pulau Pinang (Mei) dan pusingan akhir di Kuala Lumpur pada Jun.

Paling menarik, pemenang bagi setiap kategori bawah-15 berpeluang ke Paris untuk menyaksikan Sukan Olimpik pada bulan Ogos.

Bagi menjayakan siri kejohanan badminton peringkat nasional termasuk kejohanan berprestij Road to NCT Junior Badminton Championship, NCT Alliance menjalin kerjasama dengan Kelab Badminton Petaling (Petaling BC).

Ketua Pegawai Operasi NCT Alliance, Chau Chun Hoo turut mengesahkan kejohanan ini merupakan sebahagian dari tanggungjawab sosial (CSR) pihaknya dan mahu mengembangkan penganjuran di seluruh negara pada masa hadapan.

Sumber : Berita Harian

Sumber Gambar: Petaling BC

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #BadmintonMalaysia #NCTJuniorBadmintonChampionship