fariszolkefli

PULAU LANGKAWI ‘KEMBALI’ KE LTDL 2024

PULAU LANGKAWI ‘KEMBALI’ KE LTDL 2024

January 24, 2024 8:13 am

KUALA LUMPUR, 24 JANUARI 2024 – Perlumbaan berbasikal terbesar di Malaysia, PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) yang dijadual berlangsung dari 29 September hingga 6 Oktober ini meletakkan kembali Pulau Langkawi sebagai laluan perlumbaan selepas dikeluarkan pada edisi tahun lalu.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2024, Emir Abd Jalal yang mengesahkan perkara itu, memaklumkan bahawa peringkat pertama perlumbaan akan bermula di pulau legenda Mahsuri.

“Ketika ini, kami masih lagi melakukan tinjauan laluan untuk bahagian Semenanjung dengan terdapat beberapa pilihan lain. Apapun, kami tak boleh mengumumkannya pada waktu sekarang, negeri manakah yang bakal dilalui pelumba selepas memulakan saingan di Langkawi,” kata Emir.

“Dari sudut bilangan peringkat perlumbaan, memang kalau boleh kami nak menambahnya tetapi semuanya berbalik kepada kos. Begitu juga dengan perlumbaan klasik atau 1.1, jika diadakan ia akan membabitkan nilai jumlah hadiah kemenangan yang baharu.

Tambahnya lagi, beliau berharap agar penganjuran pada tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun lalu, bersempena dengan ulang tahun ke-50 PETRONAS sebagai penaja perlumbaan ini yang mengikat kontrak selama tiga tahun bermula tahun lalu.

Pada edisi tahun lalu, saingan membabitkan 22 pasukan yang merangkumi dua pasukan berstatus WorldTeam iaitu EF Education-EasyPost dari Amerika Syarikat dan Astana Qazaqstan Team (Kazakhstan), melibatkan jarak perlumbaan sejauh 1,278.1 kilometer (km) meliputi lapan peringkat.

“Kami dalam proses untuk mendapatkan pasukan yang akan mengambil bahagian dan cuba mencari tambahan dari WorldTeam. Kemungkinan besar EF Education-EasyPost akan datang untuk mempertahankan kejuaraan (Jersi Kuning dan pasukan keseluruhan). Begitu juga dengan Astana Qazaqstan Team, akan hadir seperti tahun lalu,” kata Emir.

Emir juga mengharapkan kehadiran Malaysia Pro Cycling (MPC), sebuah pasukan baharu berstatus benua dapat mengambil bahagian pada edisi kali ini.

“Kami tidak pasti bagaimana urusan mereka dengan Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) tetapi harapan kami agar ada dua pasukan benua dari Malaysia (termasuk Terengganu Cycling Team).

“Kita berharap MPC dapat menguruskan status mereka secepat mungkin agar boleh bersaing dan pelumba negara mampu menghadirkan sedikit cabaran buat jaguh luar negara,” katanya.

Sumber Gambar: PETRONAS Le Tour de Langkawi

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #PETRONASLeTourdeLangkawi2024 #LTdL2024