KUANTAN, 26 JANUARI 2024 – Bagi memperkukuhkan lagi kontinjen Pahang pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak, Majlis Sukan Pahang (MSP) akan menganjurkan Kejohanan Olahraga Remaja Tertutup Negeri Pahang 2024 bertempat di Stadium Darul Makmur pada 3 dan 4 Februari ini.
Menurut Pengarah MSP, Zamri Hassan, hanya atlet berusia 16 hingga 21 tahun sahaja dibenarkan bertanding dan berbuka kepada rakyat Pahang serta pemastautin di negeri ini. Penganjur juga memberi peluang kepada atlet luar yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negeri ini.
Seramai 200 orang atlet dijangka menyertai kejohanan ini dengan 11 acara kategori lelaki dan wanita akan dipertandingkan membabitkan acara larian jarak dekat dan jauh serta lompatan termasuk balingan seperti 100 meter (m), 200m, 400m, 800m, 5,000m, 110m lari berpagar (lelaki), 100m lari berpagar (wanita), lompat tinggi, lompat jauh, lontar peluru, lempar cakera dan merejam lembing.
“Kita berharap atlet remaja yang sebelum terbabit dalam acara padang dan balapan merebut peluang dengan menyertai Kejohanan Olahraga Remaja Tertutup Negeri Pahang yang akan diadakan bulan depan.
“Jawatankuasa pemilihan akan menilai prestasi setiap atlet yang bertanding sebelum menyenaraikan mereka dalam kontinjen Sukma Pahang,” kata Zamri.
Tambah Zamri lagi, pihaknya berharap pertandingan berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada atlet remaja dari semua daerah di negeri ini, tidak mustahil Pahang bakal melahirkan atlet terbaik yang akan membawa pulang pingat emas SUKMA 2024 Sarawak.
Mengikut rekod sebelum ini menerusi kejohanan berkenaan, ramai atlet berkualiti ditemui, mereka akan digilap seterusnya disenaraikan untuk mewakili Pahang di pentas SUKMA dan beberapa kejohanan olahraga peringkat kebangsaan.
“Atlet yang mencatat keputusan terbaik dari segi catatan masa dan jarak diberi peluang mengikuti program melangkah ke SUKMA 2024 Sarawak sebelum mereka disenaraikan untuk membawa cabaran Tok Gajah,” katanya.