SERDANG, 30 JANUARI 2024 – Sebuah kejohanan memanah yang terbesar di Malaysia iaitu Kejohanan Memanah Dalam Dewan Antarabangsa Selangor 2024 (SINAR 2024) akan berlangsung di Dewan C, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang pada 2 hingga 4 Februari 2024 ini.
Kejohanan membabitkan lebih 1,600 pegawai dan atlet tempatan serta antarabangsa ini dianjurkan oleh Persatuan Memanah Selangor (Selar) Dengan Kerjasama Majlis Sukan Negeri Selangor dan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dengan rakan strategik iaitu Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) selain disokong oleh Kementerian Belia Dan Sukan, Kerajaan Negeri Selangor serta Rakan Muda.
Dalam pada itu, para atlet yang bertanding juga berpeluang mencatatkan rekod kebangsaan berikutan pengiktirafan dan penarafan yang diakreditasikan oleh NAAM untuk kejohanan ini.
Rekod kebangsaan bagi jarak 18 meter acara Recurve pada ketika ini milik bekas pemanah negara, Cheng Chu Sian iaitu 581 mata dan bekas pemanah Selangor, Aisyah Najihah M. Azizul dengan 557 mata yang masing-masing dicatatkan pada Kejohanan Memanah Dalam Dewan UPM pada tahun 2018 dan 2016.
Bagi acara Compound pula, rekod kebangsaan dipegang oleh dua pemanah negara, Mohd Juwaidi Mazuki dengan 594 mata dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh dengan 578 mata. Mohd Juwaidi mencatatkan rekod berkenaan di Taipei Archery Open – IWS Stage 3 2023 manakala Fatin Nurfatehah mencatatkannya semasa Kejohanan Memanah Dalam Dewan UPM 2016.
Baru-baru ini, pemanah Barebow negara, Nor Idzuwan Mohammad mencipta rekod kebangsaan baharu dengan catatan 526 mata yang dicipta di Kejohanan Memanah Nimes 2024 di Perancis.
Melalui kejohanan ini, Selar berharap SINAR 2024 dapat menjadi batu loncatan kepada sukan memanah negara untuk melahirkan lebih ramai bakat-bakat baharu dalam sukan yang merupakan acara utama dalam Temasya Sukan Olimpik.