KUALA LUMPUR, 31 JANUARI 2024 – Sebuah kejohanan yang akan menjadi kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris iaitu Kejohanan Renang Kumpulan Umur Jemputan Malaysia (MIAG) ke-59 2024 akan berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, bermula 25 hingga 28 April ini.
Menurut Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MS), Andy Low, World Aquatics telah meluluskan Kejohanan Renang MIAG berikutnya sebagai aksi kelayakan Paris 2024, pada Disember lepas.
“Selain kelayakan ke Paris 2024, ini adalah kejohanan kelayakan untuk pertandingan Kumpulan Umur Sea ke-46 yang akan diadakan di Thailand, Disember ini.
“Acara itu juga akan menjadi aksi kelayakan untuk mana-mana pertandingan antarabangsa lain yang ditentukan oleh MS,” kata Andy.
Setakat ini hanya atlet terjun, Bertrand Rhodict Lises sahaja yang sudah mengesahkan tiket ke Olimpik Paris 2024 dan masih belum ada lagi perenang Malaysia berjaya melangkah ke pertandingan pelbagai acara sukan terbesar di dunia itu.
Sukan Olimpik 2024 dijadualkan bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini bertempat di Paris, Perancis.