Faris Zolkefli

TRIATLON PIALA ASIA CABAR KEUPAYAAN ATLET NEGARA

TRIATLON PIALA ASIA CABAR KEUPAYAAN ATLET NEGARA

February 1, 2024 6:45 am

PUTRAJAYA, 1 FEBRUARI 2024 – Buat julung kalinya, sebuah kejohanan triatlon bertaraf antarabangsa iaitu Kejohanan Triatlon Piala Asia (ATC) akan diadakan di Malaysia bertempat di Kompleks Sukan Air Putrajaya Presint 6, Putrajaya pada 25 Februari ini.

Seramai 10 atlet triatlon Malaysia akan bersaing bersama-sama 130 atlet antarabangsa dan kejohanan ini bakal menjadi medan terbaik buat atlet muda negara mengasah bakat terutamanya sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan SEA Thailand 2025 dan Sukan Olimpik Remaja di Dakar, Senegal (2026). 

Kejohanan ini turut menjadi medan penting buat peserta yang bertanding kerana menawarkan kutipan mata kelayakan bagi temasya Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

Menurut Naib Presiden Malaysia Persatuan Triathlon Malaysia, Dr. Alex Khoo Peng Chuan, Piala Triatlon Asia di Putrajaya bakal menjadi aksi pembuka tirai Siri Kejohanan Triatlon Piala Asia (ATC) sekali gus sebagai platform penting buat atlet muda negara menimba pengalaman agar mereka mampu menjadi atlet terbaik satu hari nanti.

“Sukan triatlon ini ini bukan sekadar berada di pentas Sukan Olimpik malah juga turut dipertandingkan di Sukan Olimpik Remaja pada 2026. Jadi sememangnya bakat kita semua terarah ke sana. Atlet termuda kita yang beraksi dalam kejohanan ini adalah berusia 16 tahun.

“Kejohanan yang kita bawa ini di Putrajaya ini juga menjadi peletus kepada semangat atlet muda negara bersaing di peringkat tertinggi. Ini adalah pelaburan yang kita buat bagi atlet kita.

“Apa yang kita ‘tanam’ ketika ini dalam masa dua hingga tiga tahun pasti mendapat hasil yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran ATC.

Kejohanan ini akan menggunakan format Sprint dengan menampilkan tiga disiplin utama iaitu renang 750 meter, berbasikal 20 kilometer (km) dan berlari 5km.

Antara atlet ternama beraksi di kejohanan tersebut ialah Kyotaro Yoshikawa dari Jepun dan dua atlet China, Fan Junjie dan Wang Nanhe serta Malaysia mempertaruhkan juara kebangsaan iaitu Isaac Tan untuk mengetuai cabaran negara di kejohanan tersebut.

Sumber Gambar: Malaysia Triathlon

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Triathlon #MalaysiaTriathlon #AsiaTriathlonCup2024 #ATC2024