Faris Zolkefli

KEJOHANAN HOKI KUANTAN CITY CHALLENGE UJI KEUPAYAAN “UBI MUDA”

KEJOHANAN HOKI KUANTAN CITY CHALLENGE UJI KEUPAYAAN “UBI MUDA”

February 2, 2024 7:56 am

KUANTAN, 2 FEBRUARI 2024 – Sebanyak 16 pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Hoki Kuantan City Challenge Piala YB Setiausaha Kerajaan Pahang bawah 12 dan 17 tahun yang akan berlangsung di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan bermula semalam hingga 5 Februari ini.

Kejohanan siri kedua ini diadakan bersempena dengan sambutan hari ulang tahun bandaraya Kuantan 2024 dengan ganjaran piala pusingan dan hadiah iringan yang bakal direbut oleh pasukan yang bertanding.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Hoki Pahang, Ahmad Najmi Abdul Razak, masing-masing lapan pasukan bawah 12 dan 17 tahun akan bertanding memburu kejuaraan untuk membawa pulang hadiah yang ditawarkan.

Tambahnya lagi, kejohanan yang menghimpunkan pasukan sekolah sukan selain wakil negeri dan akademi hoki turut bertujuan mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan diperingkat negeri dan kebangsaan.

Katanya, pertandingan kali ini dijangka lebih meriah dengan kehadiran beberapa pemain remaja kebangsaan yang membawa cabaran pasukan masing-masing.

“Kejohanan yang dianjurkan lebih kepada program pembangunan untuk menguji prestasi setiap pasukan yang bertanding dan menilai persembahan pemain.

“Kita berharap pasukan yang bertanding dapat memberi persembahan terbaik bagi membuktikan kejayaan pembangunan yang diusahakan,” kata Ahmad Najmi.

Selain hadiah iringan dan piala pusingan, penganjur turut menyediakan tujuh anugerah kepada pemain seperti pemain dan penjaga gol terbaik serta penjaring gol terbanyak.

Pada saingan musim lalu, pasukan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) muncul juara bawah 17 tahun.

Sumber Gambar: Letsplay

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Hockey #HokiKuantanCityChallenge