fariszolkefli
KUALA LUMPUR, 6 FEBRUARI 2024 – MOONTON Games dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Esports Integrated (ESI), dengan gemilangnya telah membentangkan peta jalan bagi permainan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di Malaysia, sekali gus mencetuskan era baharu permainan mudah alih dalam negara, dalam sebuah acara yang berlangsung di Aurum Theatre The Exchange TRX,semalam.
“Ini merupakan era baharu yang penuh dengan pelbagai kemungkinan. Bersamalah kita menerima masa depan esukan dalam Malaysia, seterusnya memupuk platform sihat untuk pertandingan, komuniti dan kebanggaan negara,” kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli dalam ucapan pembukaan semalam.
Dalam majlis itu, peneraju pembekal telekomunikasi bersepadu terulung di Malaysia iaitu Hotlink turut mengumumkan kerjasama yang diperluaskan bersama MOONTON Games pada tahun 2024 – bersama-sama mencetuskan pembangunan ekosistem MLBB di Malaysia. Ini termasuklah sokongan kepada liga esukan yang paling lama bertapak di Malaysia, MPL Malaysia, serta liga pembangunan yang baru dilancarkan, MLBB Academy League Malaysia (MAL MY).
Komuniti esukan boleh menjangkakan manfaat rangkaian 5G Hotlink untuk mendapatkan latensi rangkaian tanpa tandingan, memberikan pengalaman permainan yang lebih baik. Hotlink juga adalah penghasil bersama bagi lagu tema baharu MPL Malaysia dan akan menghasilkan pelbagai barangan eksklusif untuk peminat.
Hotlink dan MOONTON Games akan menjadi hos untuk pelbagai aktiviti impak sosial, termasuklah pelancaran program Hotlink Campus Initiative dan penawaran bantuan institusi pendidikan tinggi di Malaysia daripada segi kewangan, pengetahuan dan sokongan infrastruktur untuk mengadakan acara esukan akar umbi dan komuniti yang lebih bermakna.
“Sebagai jenama belia terkemuka selama 25 tahun, kami boleh kongsikan bahawa kehadiran permainan mudah alih secara keseluruhannya telah muncul sebagai salah satu penggunaan data mudah alih tertinggi selain daripada penstriman dan media sosial. Kami juga memperakui kepentingan untuk membuka platform bagi para belia untuk mengakses dunia esukan melalui pelbagai pelan yang berpatutan, menjadikan internet lebih mudah diakses. Ini akan menggalakkan lagi jumlah penyertaan sekaligus mengembangkan lagi komuniti esukan,” kata Loh Keh Jiat, Ketua Pegawai Pemasaran Maxis.
Dalam pada itu, MPL Malaysia akan kembali lagi bagi Musim Ke-13 dan Ke-14 dengan peningkatan utama Liga esukan terbesar dan paling lama di Malaysia mengumumkan Stadium MBSJ Serdang Jaya sebagai “Rumah MPL MY” yang mampu memuatkan sehingga 1,000 penonton sebagai arena pertempuran utama bagi kedua-dua musim tahun ini.
Playoffs Musim Ke-14 pula akan diadakan di Johor sebagai sebahagian daripada kerjasama MPL Malaysia bersama-sama dengan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd. (KPRJ). Pusingan Playoffs MPL Malaysia Musim Ke-14: Festival Selatan akan menyaksikan persaingan yang bakal berlangsung di luar Lembah Kelang buat julung kalinya dalam sejarah liga.
Pertaruhan bagi Musim Ke-13 adalah yang tertinggi dalam sejarah, di mana juara bakal memperoleh kelayakan secara terus ke MLBB Mid Season Cup (MSC) yang bakal diadakan di Riyadh, Arab Saudi, dengan peluang memenangi hadiah terkumpul sehingga USD3 juta, yang juga adalah hadiah terbesar dalam sejarah pertandingan MLBB.
Fasa Regular Season Musim Ke-13 akan menyaksikan 10 pasukan bermain dalam permainan Best-Of-Three (BO3) dan bertarung dengan kesemua seteru dalam liga menerusi format single round-robin. Kedudukan para pasukan adalah berdasarkan jumlah mata yang diperoleh, dengan lapan pasukan teratas akan mengekalkan slot mereka untuk MPL Malaysia Musim Ke-14.
Selain itu, MOONTON Games dan IO Esports, Mobile Legends: Bang Bang Academy League Malaysia (MAL MY) akan berfungsi sebagai peringkat pembangunan bagi ekosistem liga esukan MLBB di Malaysia, dengan menghubungkan pelbagai kejohanan akar umbi dalam arena profesional dengan penganjuran musim pertama dan kedua MAL MY .
Kejohanan itu akan mengikuti format pertandingan MPL Malaysia di mana ia akan berlangsung menerusi tiga peringkat – kelayakan terbuka pada bulan Februari, Regular Season pada bulan Mac dan Playoffs pada bulan Mei. MAL MY yang terdiri daripada dua Konferens berasingan iaitu Challengers Conference merangkumi 8 pasukan dan Affiliated Conference yang terdiri daripada 7 pasukan. Regular Season akan menyaksikan kesemua 15 pasukan bermain permainan Best-Of-Two (BO2) format single round-robin, di mana kedudukan Konferens akan ditentukan oleh jumlah mata yang diperolehi. 4 pasukan teratas daripada setiap Konferens akan mara ke Playoffs MAL MY, di mana kesemua 8 pasukan akan bersaing untuk merebut hadiah keseluruhan berjumlah USD20,000.
Selain itu, pasukan teratas di Challengers Conference akan mendapat slot kenaikan automatik ke Regular Season MPL Malaysia musim depan, manakala pasukan kedua Challengers Conference akan bertemu dengan pasukan kesembilan dari MPL Malaysia di permainan Best-Of-Five (BO5). Pemenang permainan tambahan ini juga akan memperoleh slot ke Regular Season MPL Malaysia musim seterusnya.
“Sebagai salah satu organisasi esukan terkemuka di Asia Tenggara, hasrat kami adalah untuk menyumbang kepada pembangunan juara-juara masa depan dari Malaysia, yang bakal cemerlang di pentas MLBB antarabangsa. Dengan Kejohanan Dunia M6 yang semakin hampir, MAL MY berperanan untuk memupuk pembangunan komuniti esukan dalam negara dengan membina persekitaran yang kondusif untuk bakat baru dan penyediaan landasan jelas ke arah profesionalisme.” kata Leon Lee, Ketua Pegawai Operasi IO Esports.
Dikuasakan oleh MOONTON Games dan dipersembahkan oleh Hotlink, acara “MLBB Esports Malaysia 2024: A New Era” juga menampilkan sesi forum bertemakan Penetapan Era Baru Komuniti MLBB Malaysia bersama beberapa pemegang taruh industri, dengan Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan MOONTON Games, Fikri Rizal Mahruddin sebagai moderator sesi forum ini dan menampilkan YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Loh Keh Jiat, Ketua Pegawai Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong, Ketua Pegawai Jualan Pemasaran Astro, dan Leon Lee, Ketua Pegawai Operasi IO Esports sebagai ahli panel.
Sumber Gambar: MPL Malaysia
#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Esports #MPLMalaysia #MobileLegendsBangBang #MLBB