AHP BENAM SSTMI JULANG KEJUARAAN HOKI KUANTAN CITY CHALLENGE
AHP BENAM SSTMI JULANG KEJUARAAN HOKI KUANTAN CITY CHALLENGE
February 7, 2024 6:21 am
KUANTAN, 7 FEBRUARI 2024 – Pasukan Akademi Hoki Pahang (AHP) dijulang sebagai juara Kejohanan Hoki Kuantan City Challenge Piala YB Setiausaha Kerajaan Pahang bawah 17 tahun selepas menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 2-1 di Stadium Hoki Wisma Belia, Isnin lalu.
Menurut Jurulatih AHP, Mohd Sufian Mohamad, aksi perlawanan akhir begitu mendebarkan terutama apabila kedudukan terikat satu sama pada babak kedua permainan yang menyaksikan kedua-dua pasukan bermain dengan penuh semangat.
Beberapa percubaan yang dilakukan jentera serangan AHP gagal menemui penyudah serta peluang yang terhidang banyak tersasar selain berjaya disekat oleh benteng pertahanan serta penjaga gol lawan.
Tambahnya lagi, kesungguhan barisan pemain untuk mencatat kemenangan di gelanggang seawal permainan apabila sentiasa menyerang ke kubu lawan layak dipuji.
“Saya memuji persembahan bersemangat barisan pemain, mereka telah berjaya membuktikan kelebihan bermain di tempat sendiri untuk mencatat kemenangan. Berhadapan pasukan di bawah projek sekolah sukan Malaysia seolah tidak sedikitpun menggentar mereka.
“Mereka bermain mengikut arahan, keyakinan pemain dapat dilihat seolah tidak ada tekanan beraksi di pentas final,” katanya.
Mohd Sufian Mohamad ingin meletakkan AHP berdiri sama tinggi dengan sekolah sukan Malaysia walaupun AHP hanya projek sukan negeri dan mengambil pemain di peringkat daerah negeri ini.
Kelebihan pasukan AHP adalah latihan bersama setiap hari kerana ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh dengan mendapat bantuan daripada Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Majlis Sukan Pahang (MSP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP).
Johan bawah 12 tahun berpihak kepada pasukan Lepar dengan hadiah kepada para pemenang disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Zulkefli Yaacob.