fariszolkefli

KBS MAHU PERKASA PEMBUDAYAAN SUKAN WARGA EMAS

KBS MAHU PERKASA PEMBUDAYAAN SUKAN WARGA EMAS

February 8, 2024 8:02 am

KUALA LUMPUR, 8 FEBRUARI 2024 – Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah mempengerusikan Sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) Berkaitan Pembudayaan Sukan dalam Kalangan Warga Emas bertempat di Menara KBS, Putrajaya hari ini.

Sesi ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), YBrs. Tuan Mohd Azhari Mohammad.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2023, populasi penduduk Malaysia yang berumur 60 tahun ke atas kini mencecah 11.1 peratus dan dijangka meningkat kepada 15 peratus menjelang tahun 2030 menjadikan Malaysia dikategorikan sebagai sebuah negara menua, menurut definisi Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB).

Sehubungan dengan itu, KBS sedang mengambil langkah proaktif dengan menggalakkan sukan dalam kalangan warga emas untuk memastikan kesihatan fizikal, rohani dan mental golongan ini terpelihara. Usaha KBS adalah selari dengan pendekatan mencegah lebih baik daripada mengubati bagi penyakit tidak berjangkit (non communicable diseases – NCD), serta diharapkan dapat mengurangkan beban bil perubatan yang tinggi kepada kerajaan.

Sesi ini diadakan adalah untuk mendapatkan pandangan, idea dan maklum balas daripada pemegang taruh sukan warga emas termasuk jabatan/agensi kerajaan, sektor swasta, badan sukan, dan pertubuhan bukan kerajaan.

Input yang diterima ini diharapkan dapat membantu KBS melalui JBSN untuk membina jaringan kerjasama strategik bersama pemegang taruh seterusnya menyokong usaha pemerkasaan pembangunan sukan untuk semua (sports for all); termasuk dalam kalangan warga emas, membangunkan program dan aktiviti pembangunan sukan untuk semua yang inklusif, berkesan dan berterangkum; dan menyokong hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan warga emas.

Penganjuran sesi ini turut menyumbang kepada pemerkasaan pembangunan sukan untuk semua seiring dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030).

Sumber Gambar: KBS Malaysia

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #TeamKBS #PembudayaanSukanWargaEmas