KUALA LUMPUR, 9 FEBRUARI 2024 – Penembak negara, Alia Sazana Azahari berharap mendapat peluang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris.
Juara dua kali Sukan Sea itu tidak sabar untuk bertanding dalam kelayakan Olimpik di Rio de Janeiro bermula 11 hingga 20 April ini, memandangkan Rio akan menjadi pertandingan terakhir untuk penembak layak ke Sukan Olimpik yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.
“Semuanya bergantung kepada Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) sama ada membenarkan saya bertanding (di Rio) untuk memenangi tempat di Sukan Olimpik.
“Tahun lalu, saya terlepas peluang untuk layak dengan hanya beberapa mata dalam Kejohanan Asia di Changwon City, Korea Selatan,” kata Alia, yang menduduki tempat ke-13 secara keseluruhan.
Atlet Program Podium itu juga beraksi di Kejohanan Asia bulan lalu di Jakarta tetapi tidak berjaya mara ke final.
Jika Alia dapat menembak di Rio, dia perlu menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik untuk layak ke perlawanan akhir.
Alia, yang memenangi gangsa 25m pistol dalam Sukan Komanwel 2018, akan bersaing dalam Trofi Tun Hanif di Subang minggu depan.
Sebelum ini, skuad menembak negara beraksi di pentas Olimpik Tokyo 2020 atas tiket ‘wildcard’ dan NSAM menghantar atlet berpengalaman, Suryani Taibi.
Sementara itu, Johnathan Wong akan beraksi dalam dua perlawanan Piala Dunia sebagai persediaan menghadapi Olimpik keduanya dengan bersaing dalam acara 10m pistol udara lelaki di Granada, Sepanyol, dari 10 hingga 18 Februari dan di Munich, Jerman, dari 31 Mei hingga 7 Jun.