Sebanyak 21 negara telah mengesahkan penyertaan untuk menyertai saingan elit edisi kelima Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Titiwangsa pada 18 hingga 26 Mei ini.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan, mengesahkan perkara itu dengan memaklumkan pihaknya menerima surat rasmi daripada 12 pasukan yang akan berentap bagi kategori Premier dan sembilan pasukan bagi kategori Divisyen 1 untuk beraksi di kejohanan berprestij itu.
“Untuk Premier ada 12 negara iaitu Malaysia, Thailand, Korea Selatan, Myanmar, Vietnam, India, Indonesia, Singapura, Brunei, Jepun, China dan Filipina. Divisyen 1 pula ada sembilan negara iaitu Sri Lanka, Arab Saudi, Perancis, Iran, Taiwan, Nepal, Pakistan, Jerman dan Bangladesh,” katanya pada sidang media PSM di Stadium Titiwangsa, semalam.
Tambahnya lagi, keputusan penyertaan 21 negara itu muktamad dan tidak akan ada penambahan pasukan pada masa akan datang. PSM juga akan mengadakan majlis perasmian piala kejohanan itu bersama majlis pengundian pada 6 Mac ini di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Bagi persiapan skuad negara menjelang piala berprestij itu, pasukan negara akan dihantar ke Bangkok, Thailand selama dua minggu untuk berdepan aksi pemanas badan pada awal Mei ini, seterusnya menyertai latihan pasukan negara di sini sebagai rakan sepelatih sebelum kejohanan itu bermula.
Kejohanan yang kali terakhir dianjurkan Malaysia pada 2011 itu, akan turut menyaksikan sistem kiraan 15 mata akan diguna pakai selepas dikuatkuasakan pada 1 Februari lalu.
Pada edisi lalu yang berlangsung di Daejeon, Korea Selatan, Malaysia berjaya membawa pulang satu perak dan gangsa, masing-masing dalam acara regu lelaki dan regu wanita.