fariszolkefli

KERAJAAN PAHANG TUBUH AKADEMI GOLF

KERAJAAN PAHANG TUBUH AKADEMI GOLF

February 16, 2024 4:36 am

KUANTAN, 16 FEBRUARI 2024 – Dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain golf di negeri Pahang, Kerajaan Pahang menubuhkan Akademi Golf Pahang Barat di Raub dengan menjadikan Padang Golf Raub sebagai lapangan kepada remaja khususnya pelajar-pelajar berusia 21 tahun dan ke bawah untuk bergiat dalam sukan golf.

Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai atlet sukan golf profesional di Pahang, sekali gus dapat mengharumkan nama negeri menerusi sukan tersebut.

“Sebelum ini hanya ada satu Akademi Golf di bawah Majlis Sukan Pahang (MSP) dan saya sudah pergi bertemu dengan pemain-pemain dan peserta pada tahun lalu iaitu di Kuantan dan kini Akademi Golf yang kedua (di Raub) dan kita harap dapat membangunkan pemain-pemain golf profesional di lapangan ini.

“Kebetulan Kelab Golf Raub sekarang tengah berusaha gigih menyiapkan dan membuka semula padang golf ini, buat permulaan sembilan lubang dahulu dan insyaaAllah pada pertengahan tahun hadapan akan buka lagi sembilan lubang, menjadikan 18 lubang tahun depan,” katanya selepas meninjau ke tapak pembangunan Padang Golf Raub dan Pelancaran Program Golf Remaja Daerah Raub di Kelab Golf Raub, semalam.

Akademi Golf Pahang Barat yang akan dikenali sebagai Agro Golf Dalam Kebun ini akan mula dibuka kepada orang ramai dalam masa terdekat dan ia terbuka kepada remaja dan orang ramai dari negeri-negeri Pahang Barat termasuklah Bentong, Lipis dan Cameron Highlands.

Selain menyediakan pelbagai kemudahan yang selesa buat pengunjung dan para peserta, Agro Golf Dalam Kebun ini juga mempunyai keunikannya yang tersendiri dengan dikelilingi kebun buah-buahan seperti durian, mangga, manggis, dan pelbagai lagi.

Akademi ini turut menerima tajaan daripada Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd menerusi Pengarah Urusannya, YH. Dato’ Shamsul Kamar Samsuddin bagi program junior di Raub. Justeru, Kerajaan Pahang turut mengalu-alukan pelbagai pihak yang ingin bekerjasama dan menaja Akademi Golf Pahang Barat bagi melahirkan pemain golf profesional.

Dalam pada itu, Kerajaan Pahang menerusi MSP menyasarkan untuk melahirkan atlet golf profesional dari Pahang dalam tempoh dua tahun pada SUKMA 2026 nanti.

Sumber Gambar: Fadzli Kamal

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Golf #GolfMalaysia #AkademiGolfPahangBarat #AgroGolfDalamKebun