MELAKA, 19 FEBRUARI 2024 – Selepas lima tahun tanpa sebarang penganjuran, Persatuan Hoki Melaka (PHM) akan menghidupkan semula Liga Hoki Melaka bagi melonjakkan semula pasukan negeri itu untuk menduduki ranking teratas di Malaysia.
Menurut Presiden baharunya, Datuk Rais Yasin, satu mesyuarat mengenai penganjuran liga itu akan diadakan dalam masa terdekat dan dijangka pertandingan itu dijadualkan berlangsung pada Julai atau Ogos depan.
“Liga itu juga akan membabitkan pelbagai peringkat umur dan kategori, membabitkan pasukan dari sekolah dalam negeri ini, hingga ke pasukan kelab.
“Namun, kita akan minta dulu panduan daripada pihak Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk melihat tarikh yang sesuai bagi penganjuran liga berkenaan,” katanya.
Beliau berkata sedemikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Dwi Tahunan PHM ke-24, yang disempurnakan oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal.
Tambah Rais lagi, penganjuran semula Liga Hoki Melaka itu juga adalah komitmen pertama beliau sebagai presiden yang baharu dilantik, dalam memastikan ia dilaksanakan pada setiap tahun selepas ini.
“Selain itu, kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, bagi melaksanakan program pembangunan sukan itu pada peringkat akar umbi.
“Ini juga komitmen kita bagi mengembalikan kegemilangan sukan tersebut di negeri ini, yang pernah melahirkan ramai bintang hoki negara dengan menggilap bakat anak muda, menerusi penganjuran pertandingan dan liga hoki,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa kemudahan dan padang hoki di Stadium Hoki MBMB Bukit Serindit juga akan dinaik taraf dengan membabitkan kos sebanyak RM5 juta, dengan peruntukan yang telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Kerja Raya.
“Insya-Allah pada bulan Jun, tender untuk kerja naik taraf akan dikeluarkan dan kita akan mendapat stadium hoki yang lebih baik dan selesa,” katanya.