fariszolkefli

KING OF THE RING JADI REBUTAN DI KUDA MERAH MUAY THAI CHALLENGE 2024

KING OF THE RING JADI REBUTAN DI KUDA MERAH MUAY THAI CHALLENGE 2024

February 20, 2024 3:05 am

KUALA LUMPUR, 20 FEBRUARI 2024 – Seramai 28 atlet Muay Thai dari dalam dan luar negara bakal berhimpun dan menggegarkan Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur pada Sabtu dan Ahad ini bagi merebut gelaran ‘King of the Ring’ di Kejohanan JWP-DBKL Kuda Merah Muay Thai Challenge 2024.

Menurut Presiden Kelab Muay Thai Kuda Merah Kuala Lumpur, Rosli Yaacob, daripada jumlah itu, dua daripadanya adalah warga Thailand manakala satu jaguh Afghanistan bakal merebut 10 tali pinggang yang dipertandingkan dalam kejohanan kali ke-73 itu.

Kejohanan itu juga akan menampilkan jaguh nombor satu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Mohd Rafi Abdul Manaf atau lebih dikenali sebagai Mat Ropi dengan rekod kemenangan lebih 100 kali dan petinju ternama Thailand, Dean-Kao san.

“Peninju yang bertanding telah disaring mengikut kriteria tertentu bagi memberikan aksi menarik buat peminat sukan Muay Thai di Malaysia.

“Peninju ini saya pilih sendiri, kekuatan mereka seimbang jadi kalau TKO, nasiblah. Saya sangat berpuas hati dengan peninju yang akan bertanding,” kata Rosli.

Tambah Rosli, di samping menjadi wadah untuk mencari bakat baharu bagi sukan Muay Thai tempatan, kejohanan berkenaan juga adalah seiring dengan usaha pihaknya bagi mempromosikan kalendar acara Hari Wilayah Persekutuan 2024 ke-50.

Pada edisi lepas, Kelab Kuda Merah Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakar kejayaan cemerlang selepas menyapu bersih tiga gelaran kejohanan dengan Mohd Shalihem Mohamad merangkul Tali Pinggang DZ Travel, Mohd Amirul Ariffin pula meraih Tali Pinggang Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan Nizam Maarof Jeoffery dengan Trofi Sup Meletup.

Lebih 5,000 penonton dalam dan luar negara dijangka hadir memenuhi stadium pada dua malam perlawanan berkenaan dan mereka yang berminat untuk melakukan pembelian tiket boleh menghubungi 012-7864930 (WhatsApp) untuk maklumat lanjut.

Sumber Gambar: Muay Thai Kuda Merah

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #MuayThai #JWPDBKLKudaMerahMuayThaiChallenge2024