fariszolkefli

RAJA PECUT NEGARA SASAR CATAT 9.95S UNTUK KE PARIS

RAJA PECUT NEGARA SASAR CATAT 9.95S UNTUK KE PARIS

February 21, 2024 8:36 am

KUALA LUMPUR, 21 FEBRUARI 2024 – Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi memberi bayangan memburu catatan 9.95 saat (s) dalam misi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) itu memuat naik beberapa keping gambar dirinya berserta anak kunci lego tertera angka 9.95 yang digunakan pada begnya.

Pada hantaran itu, Azeem yang kini melanjutkan pengajian dan program latihannya di Universiti Aurburn di Alabama, Amerika Syarikat menulis: “2024. #olympicyear (tahun Olimpik).”

Azeem ketika ini dibimbing oleh bekas pemegang pingat gangsa 400m lari berhalangan Sukan Komanwel 1998, Ken Harnde dan memiliki catatan peribadi terbaik yang juga adalah rekod kebangsaan 10.09s, dicatatkan di Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Colombia pada Ogos 2022.

Pelari kelahiran Teluk Intan, Perak itu mempunyai tempoh sehingga Jun depan bagi melayakkan diri secara merit ke Olimpik Paris dengan nerekodkan catatan masa di bawah 10s.

Setakat ini, Azeem sudah beraksi dalam dua kejohanan dalam dewan sebagai persiapannya memburu tiket ke temasya berprestij di dunia itu.

Dia berjaya melangkah ke final acara 60m Kejohanan Jemputan Dalam Dewan Clemson Tiger Pow 2024 dan terkandas di pusingan kelayakan Kejohanan Jemputan Razorback di Amerika Syarikat.

Tahun lalu, Azeem mencipta sensasi apabila berjaya memenangi pingat gangsa 100m di Sukan Asia Hangzhou dengan catatan 10.11s, ketinggalan di belakang pelari China, Xie Zhenye yang meraih emas dengan catatan 9.97s manakala atlet Thailand, Boonson Puripol memenangi perak (10.02s).

Sumber Gambar: Azeem Fahmi

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Athletics #Paris2024