fariszolkefli

SKUAD PARA MEMANAH NEGARA INTAI LEBIH SLOT KE PARIS

SKUAD PARA MEMANAH NEGARA INTAI LEBIH SLOT KE PARIS

February 22, 2024 7:36 am

KUALA LUMPUR, 22 FEBRUARI 2024 – Skuad memanah para negara menyasarkan dua lagi slot kelayakan ke Sukan Paralimpik Paris 2024, pada kejohanan kelayakan terakhir Kejohanan Peringkat Dunia Memanah Fazza Para ke-8 yang akan berlangsung bermula 2 hingga 7 Mac ini di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut ketua jurulatih memanah negara, Marzuki Zakaria, harapan diletakkan pada Paralimpian Wiro Julin dan G. Daneshen kedua-duanya daripada kompaun lelaki serta Nurfaizal Hamzah daripada recurve lelaki.

Setakat ini, juara dunia memanah para 2019, S. Suresh dan Atlet Wanita Tahunan Sukan Para Malaysia (Sukma) 2022, Nur Jannaton Abd Jalil telah mengesahkan tiket ke Paris menerusi Kejohanan Memanah Kelayakan Para Benua Asia di Bangkok, pada hujung tahun lalu, masing-masing sebagai juara recurve lelaki dan naib juara kompaun wanita.

Skuad negara kini sedang menjalani kem latihan selama seminggu bermula Selasa bersama atlet universiti dan Sukma di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu, bagi memastikan misi di Dubai berjaya kerana hanya dua pemanah terbaik (finalis) bagi setiap kategori akan layak ke Paris.

Marzuki berkata, perkampungan di Terengganu itu bertujuan meningkatkan ketahanan mental dan fizikal, kerana menjangkakan cabaran sengit daripada peserta dari seluruh dunia untuk merebut slot kelayakan di Dubai.

“Kita akan adakan latihan biasa selama dua hari, kemudian kita akan berlatih menggunakan format kejohanan sebenar bersama ‘atlet biasa’ dari UniSZA, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan atlet Sukma Terengganu untuk menguji tahap kesiapsiagaan atlet (negara) kita.

“Latihan ketat di peringkat teratas akan mempertajamkan teknik dan kemahiran mereka, selain membantu mereka meningkatkan mata pada pusingan kelayakan pada kejohanan sebenar nanti. Mereka perlu memberikan komitmen lebih 100 peratus untuk mencapai misi itu.

“Kami menaruh harapan tinggi untuk Wiro, yang pernah layak ke Sukan Tokyo (Para), serta Daneshen yang hampir layak ke Paris tetapi terlepas satu mata pada kejohanan sebelum ini, untuk memenangi tiket pastinya kali ini,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun Suresh dan Nur Jannaton telah memenangi slot ke Paris, mereka juga dikehendaki mempamerkan prestasi terbaik di kem latihan dan di Dubai sebagai persiapan menghadapi Sukan Paralimpik Paris yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September.

Sumber Gambar: MSN

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Archery #MalaysianArchery #ParaArchery #Paris2024