KUCHING, 23 FEBRUARI 2024 – Sebanyak 12 pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Kabaddi Peringkat Kebangsaan (3 Star) 2024 yang akan berlangsung di pusat beli-belah AEON Kuching bermula hari ini hingga 25 Februari.
Kejohanan selama tiga hari itu bakal menyaksikan saingan dalam kategori lelaki dan wanita yang mewakili beberapa negeri yang mana setiap pasukan terdiri daripada lima pemain dan seorang jurulatih dengan seorang pengurus.
Antara peserta yang akan bersaing adalah dari Kedah, Melaka, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak dalam kategori lelaki.
Manakala, enam lagi pasukan adalah dalam kategori wanita iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selain dua wakil tuan rumah iaitu Sarawak A dan Sarawak B.
Kejohanan ini dianjur Persatuan Kabaddi Negeri Sarawak dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majis Sukan Negeri Sarawak (MSNSN) dan AEON Mall.
Presiden KAM, Sadhasivam Munisamy dan Setiausaha Agung KAM, Padmanathan Enggaittraman turut dijangka hadir memeriahkan kejohanan tersebut.
Kontinjen-kontinjen yang bertanding akan tiba di Kuching pada hari ini manakala proses cabutan undi akan diadakan pada jam 6 petang hari yang sama.