KUCHING, 9 FEBRUARI 2024 – Sukan tinju akan mencapai satu lagi batu penanda baharu di Bumi Kenyalang apabila petinju profesional dari seluruh dunia bakal berkampung di Kuching untuk berentap di Kejohanan Tinju Dunia (WBC) pada 11 Mei ini.
Perkara itu didedahkan oleh Presiden Persatuan Tinju Amatur Sarawak (SABA), Dato Rahman Lariwoo, dengan menyatakan bahawa Sarawak telah dipilih menjadi tuan rumah kejohanan berprestij dunia itu selepas menerima pengesahan peribadi daripada presiden Majlis Tinju Asia WBC, Kol Thanapol Bhakdibhumi di Bangkok pada Jumaat.
Jelasnya, selepas perbincangan antara Thanapol dan beliau, SABA bersetuju untuk mengadakan acara WBC serentak dengan Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak bermula dari 6 hingga 10 Mei di Stadium Tertutup Petra Jaya.
“Ini adalah sejarah baharu dalam arena tinju di Sarawak dan negara kerana ini adalah kali pertama pertandingan WBC dianjurkan di Malaysia.
“Penganjuran kejohanan ini juga bagi menyahut seruan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan di bawah Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mahu lebih banyak acara peringkat antarabangsa dianjurkan di sini.
“Justeru, SABA ingin mengucapkan terima kasih kepada Dato Sri Abdul Karim kerana memberi kepercayaan dan sokongan kepada kami untuk membawa kejuaraan ini ke Bumi Kenyalang,” kata Rahman.
Setakat ini, lapan negara telah mengesahkan penyertaan iaitu Malaysia, Jepun, Indonesia, Bangladesh, Thailand, Filipina, Perancis dan Brazil.
Sebanyak lima perlawanan WBC akan diadakan pada 11 Mei dengan petinju profesional bakal bersaing untuk merebut tali pinggang kejuaraan dan mata ranking.
“Kemuncak perlawanan WBC adalah pertarungan membabitkan jaguh tinju Sarawak, Daeloniel McDelon Bong atau Kilat Boy dalam kategori bantamweight di mana dia dijangka bertemu juara bertahan dari Thailand.
“Ini akan menjadi ujian sebenar untuk Kilat Boy tetapi saya percaya dia boleh melakukannya, terutamanya di hadapan penyokong sendiri,” tambah Rahman.
Mengulas lanjut mengenai Terbuka Sarawak, Rahman berkata edisi ketiga pada kali ini akan menjadi platform persiapan petinju Sarawak untuk menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 pada Ogos depan.
SABA juga sedang mempertimbangkan untuk membawa bekas juara dunia dari Filipina, Manny Pacquiao ke Kuching bagi memeriahkan lagi Kejohanan WBC.
Berhubung perkara itu, beliau akan berbincang dengan seluruh Exco SABA termasuk kerajaan negeri untuk memikirkan bentuk program yang akan dirancang bagi menyambut ketibaan jaguh tinju itu.