Faris Zolkefli

UBI MUDA NEGARA CEMERLANG DI AUSTRALIA

UBI MUDA NEGARA CEMERLANG DI AUSTRALIA

February 28, 2024 3:54 am

PUTRAJAYA, 28 FEBRUARI 2024 – Atlet remaja negara yang membawa nama Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) beraksi cemerlang di bumi Australia apabila mengharumkan nama negara selepas mengungguli Kejohanan Trek dan Padang WA State 2024 yang berlangsung di Perth, dengan membawa pulang lapan pingat emas dan enam perak.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM), pasukan negara diwakili oleh 12 pelajar sekolah menengah yang merupakan atlet terbaik dari seluruh negara dan tiga orang pegawai dalam pertandingan antarabangsa yang berlangsung pada 22 hingga 25 Februari itu.

“KPM sentiasa komited dalam usaha membangunkan potensi dan bakat murid dalam sukan,” kata KPM.

Usaha KPM itu dilaksanakan menerusi pertandingan di pelbagai peringkat serta program sukan berimpak tinggi di lima Sekolah Sukan Malaysia (SSM), 15 Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan 612 Pusat Latihan Daerah (PLD) di seluruh negara.

Kilauan pingat emas hadir menerusi Muhammad Faheem Haziq Mohd Hasrul dalam acara 3,000 meter jalan kaki lelaki bawah 15 tahun (B-15), Muhamad Thaqif Ukasyah Mohd Rady (lompat tinggi lelaki B-14), Randy Ryann Samson (lompat kijang lelaki B-16), Amirul Syakir Mohd Hanafi (100m lelaki B-15) dan Wan Muhammad Hariz Wan Mohd Hafiz (100m lelaki B-16).

Selain itu, Mohammad Syahzwan Willian turut menyumbang emas dalam acara lontar peluru lelaki B-15, Nurelfira Umaira Mohd Yusuf (80m lari berpagar perempuan B-14) dan Amirul Syakir Mohd Hanafi (200m lelaki B-15).

Pingat perak negara pula dituai oleh Nurelfira Umaira Mohd Yusuf menerusi acara 200m lari berpagar perempuan B-14, Mohammad Syahzwan (lempar cakera lelaki B-15), Randy Ryann Samson (lompat jauh lelaki B-15), Muhammad Syukri Nazim Mydin (800m lelaki B-16) dan Nur Aina Aleefa Zukli (lempar cakera perempuan B-14).

Muhamad Thaqif Ukasyah turut menyumbang perak dalam acara 90m lari berpagar lelaki B-14, manakala Nurelfira Umaira meraih naib johan bagi acara 200m lari berpagar perempuan B-14 dan Mohammad Syahzwan bagi lempar cakera lelaki B-15.

Sumber Gambar: KPM

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Olahraga #OlahragaMalaysia #WAStateTrackandFieldChampionships2024