Faris Zolkefli

ATLET OLIMPIK DIBERI GANJARAN SEBUAH KERETA

ATLET OLIMPIK DIBERI GANJARAN SEBUAH KERETA

March 1, 2024 8:09 am

KUALA LUMPUR, 1 MAC 2024 – Ganjaran lumayan berbentuk sebuah kereta bakal menjadi milik atlet kebangsaan yang membawa pulang pingat pada Sukan Olimpik 2024 di Paris yang dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pihak Jawatankuasa Road To Gold (RTG) telah menerima tawaran daripada sebuah syarikat kereta yang berminat memberi ganjaran kepada atlet negara yang berjaya menamatkan podium pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Bagaimanapun, Hannah turut berharap syarikat tempatan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk tampil memberi ganjaran kepada atlet yang mengharumkan nama negara di Paris 2024 kelak.

“Kita mahu juga beri peluang kepada jenama tempatan (beri ganjaran pemenang pingat Sukan Olimpik) kerana sekarang jenama luar negara yang beri tawaran.

“Jadi mana-mana syarikat tempatan yang bersedia memberi tawaran mereka boleh hubungi penyelaras RTG Datuk Stuart Ramalingam,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa RTG semalam.

Atlet yang merangkul pingat Sukan Olimpik layak menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) mengikut warna pingat yang dimenangi dengan pemenang pingat emas di Sukan Olimpik dan Paralimpik akan menerima RM1 juta, manakala perak dan gangsa masing-masing layak mendapat RM300,000 dan RM100,000.

Sumber: BERNAMA

Sumber Gambar: KBS Malaysia

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Paris2024 #RoadToGold