fariszolkefli

THE GOLDEN BOY TEKAD RAMPAS TALI PINGGANG JUARA DUNIA MCW

THE GOLDEN BOY TEKAD RAMPAS TALI PINGGANG JUARA DUNIA MCW

March 4, 2024 7:23 am

KUALA LUMPUR, 4 MAC 2024 – Bekas juara Melbourne City Wrestling (MCW) Intercommonwealth, Emman Azman tekad merampas gelaran juara dunia MCW milik ahli gusti profesional dari Australia, Slex, dalam perlawanan MCW Icons pada 30 Mac ini.

Bintang gusti profesional dengan julukan The Golden Boy itu yakin mampu merampas tali pinggang kejuaraan dunia MCW itu dengan mempergiatkan latihan di bawah bimbingan jurulatihnya, Carlo Canon.

“Emman ada upcoming perlawanan MCW Icons di Melbourne pada 30 Mac ini, Emman nak rampas tali pinggang MCW World Champion apabila bertemu penyandang dari Australia, Slex, dan bawa balik ke Malaysia,” katanya selepas perlawanan New Breed II anjuran Malaysia Pro Wrestling (MYPW) di KuAsh TTDI.

Pada perlawanan New Breed II sempena ulang tahun ke-10 tahun gusti profesional di Malaysia, Emman tewas kepada pengusti senegara, Thommy Ardhi.

Sementara itu, Emman percaya kemenangan diraih Thommy secara tidak langsung melonjakkan semangat dan keyakinan diri atlet tersebut untuk perlawanan yang akan datang.

“Emman bukan kecewa tapi amat bangga apabila Thommy berjaya kalahkan Emman. Tahun lalu pada New Breed I, Thommy kalah dalam 20 saat. Kali ini dia kalahkan Emman dalam tempoh masa 14 minit. I am very proud of him,” katanya.

Mengenai ulang tahun ke-10 bertapaknya gusti profesional di Malaysia, Emman mahu melihat arena sukan lasak itu disertai lebih ramai penggusti muda tempatan sekali gus membuka peluang untuk mengukir nama di peringkat antarabangsa.

“New Breed II, kita cuba buat lagi menarik daripada New Breed I. One year in the making. This year, sempena 10 tahun Malaysia Pro Wrestling, Emman memang suka tengok new Malaysian Pro Wrestlers, anak muda yang join sebab tengok Emman di YouTube tapi sekarang mereka sertai jadi ahli gusti profesional.

“Sebab gusti profesional tidak akan berhenti di Malaysia. Sentiasa berterusan. Seperti mana Emman dapat mencipta nama negara luar negara luar dan pernah dapat tali pinggang kejuaraan, Emman nak mereka pun ikut jejak langkah sama.

“Malaysia Pro Wrestling sudah bertapak di negara ini dekat 10 tahun. Tapi ramai yang tak tahu mengenai kewujudan sukan gusti profesional. Ada ke wrestling di Malaysia? Inilah ambisi Emman supaya ramai yang tahu, seperti sambutan meriah perlawanan malam ini,” katanya.

Sebagai rekod, New Breed II adalah perlawanan sempena meraikan ulangtahun ke-10 tahun gusti pro di Malaysia dengan penampilan bakat gusti anak-anak tempatan menentang ahli gusti negara luar seperti dari Australia dan Singapura.

Emman cemerlang pada perlawanan pembukaan musim 2024 dalam perlawanan Renegades of Wrestling apabila menewaskan Robbie Eagles dalam pertarungan selama 26 minit di Melbourne, Australia pada 25 Januari lalu.

Sumber: Sinar Harian

Sumber Gambar: Malaysia Pro Wrestling

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Wrestling #WrestlingMalaysia #MalaysiaProWrestling