fariszolkefli

PEMANAH SARAWAK WAKILI NEGARA KE KAZAKHSTAN

PEMANAH SARAWAK WAKILI NEGARA KE KAZAKHSTAN

March 6, 2024 8:38 am

SIBU, 6 MAC 2024 – Tiga pemanah berbakat dari Sarawak telah diberi penghormatan untuk mewakili Malaysia pada Sukan Nomad Dunia 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 15 September depan bertempat di Astana, Kazakhstan. 

Muhammad Zakuwan Abdul Aziz dari Mukah, Mohamad Edrudze Sulaiman dari Bintulu dan Dayang Ferazlyn Abang Sahari dari Miri terpilih menyertai acara berprestij ini.

Pencapaian mereka bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan individu, bahkan hasil usaha dalam Pusingan Kalah Mati/Pusingan Kelayakan Olimpik di Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Persatuan Memanah Tradisional Malaysia (TAAM) dengan matlamat meningkatkan taraf sukan memanah di negara ini.

Mereka dipilih melalui kedudukan lima terbaik (masing-masing dalam Kategori Dewasa Lelaki & Wanita) Format TAAM serta kedudukan lima terbaik menerusi Pusingan Kalah-singkir/ Olympic Round (masing-masing dalam Kategori Dewasa Lelaki & Wanita) Format Fetih Kupasi di dalam Kejohanan Memanah Tradisional Kebangsaan (KMTK) yang telah berlangsung pada Oktober 2023. 

Mohamad Edrudze mencipta kejutan dengan menduduki tempat pertama dalam Kategori Dewasa Lelaki (format Kupasi Fetih) sementara Muhammad Zakuwan meraih tempat kedua dalam kategori yang sama (format TAAM). 

Sementara itu, Dayang Ferazlyn turut cemerlang dengan menduduki tempat teratas dalam kategori Dewasa Wanita (format Fetih Kupasi).

Dayang Ferazlyn merupakan atlet memanah berpengalaman dan telah berkecimpung dalam dunia memanah sejak muda.

Prestasi cemerlangnya sebelum ini, dengan dua pingat emas dan satu perak dalam Kejohanan Memanah Tradisional Antarabangsa di Kazakhstan, membuktikan kecekapan dan ketangkasannya.

Sukan Nomad Dunia 2024 merupakan pengalaman pertama bagi Edrudze dan Zakuwan untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Bagi Dayang Ferazlyn, ini merupakan peluang untuk mengukuhkan prestasi luar biasa serta meningkatkan rekod peribadinya.

Sumber: Utusan Borneo

Sumber Gambar: Borneo Post

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Archery #ArcheryMalaysia #WorldNomadGames2024