haziq

15,000 ATLET & PEGAWAI BAKAL MERIAHKAN SUKMA SARAWAK 2024

15,000 ATLET & PEGAWAI BAKAL MERIAHKAN SUKMA SARAWAK 2024

March 11, 2024 6:25 am

KUCHING, 11 MAC 2024 – Kira-kira 15,000 atlet dan pegawai dari semua negeri termasuk kontinjen jemputan Brunei dijangka mengambil bahagian dalam temasya dwitahunan Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan berlangsung di Bumi Kenyalang, Ogos ini.

Menurut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebanyak 37 jenis sukan akan dipertandingkan meliputi 490 acara di sembilan bahagian di Sarawak.

Pecahan kluster sukan terlibat di selatan Sarawak iaitu Kuching berjumlah 25 jenis sukan, Samarahan (tiga), manakala Serian dan Sri Aman masing-masing satu acara sukan.

“(Wilayah tengah Sarawak) Betong mempunyai satu kluster sukan manakala Sibu dan Mukah masing-masing tiga jenis. (Di utara Sarawak) Bintulu pula mempunyai tiga jenis manakala Miri ada enam jenis sukan.

“Tujuan temasya SUKMA ke-21 diadakan di semblan bahagian adalah supaya masyarakat di luar Kuching dapat menikmati limpahan ekonomi dan juga memberi peluang kepada atlet menikmati kekayaan budaya masyarakat di Sarawak yang berbilang kaum,” dalam ucapan beliau sewaktu pelancaran SUKMA dan Para SUKMA ke-21 pada Sabtu.

Sarawak yang pernah menjadi hos SUKMA pada 1990 dan 2016 menyaksikan penganjuran edisi tahun ini bermula 17 hingga 24 Ogos depan manakala Para SUKMA pula pada 20 hingga 28 September 2024.

Sebanyak 10 sukan melibatkan 361 acara akan dipertandingkan bagi Para SUKMA dengan anggaran jumlah 1,400 atlet para dan 600 pegawai yang diadakan di Kuching.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata temasya sukan itu perlu dijadikan contoh dalam mewujudkan persekitaran sukan yang selamat berlandaskan Kod Sukan Selamat yang dilancarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 15 Mac 2023.

Beliau menyeru agar semua persatuan sukan memasukkan elemen sukan selamat dalam perlembagaan persatuan dan membangunkan polisi sukan selamat masing-masing.

“Melalui persekitaran sukan yang lebih kondusif, ia akan memberi keyakinan kepada ibu bapa untuk terus memberi galakan kepada anak-anak mereka untuk kekal bersaing secara berterusan.

“Kod ini juga boleh dijadikan rujukan kepada jawatankuasa pengelola untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak dingini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam capan yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha KBS Dr K. Nagulendran.

Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan pelancaran logo serta maskot rasmi SUKMA ke-21 yang menyaksikan kemunculan semula ‘Satria dan ‘Satrina yang berwajah baharu.

Sumber: Bernama

Sumber Gambar: Unit Komunikasi Awam Sarawak

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Sukma2024Sarawak #ParaSukma2024 #SUKMA21