MIRABEL TING TERUS CIPTA SENSASI DI BUMI UNCLE SAM
MIRABEL TING TERUS CIPTA SENSASI DI BUMI UNCLE SAM
March 12, 2024 6:30 am
KUALA LUMPUR, 12 MAC 2024 – Pemain golf wanita amatur nombor 1 negara, Mirabel Ting terus mengukir nama di kancah golf kolej Amerika Syarikat.
Pemain dari Sarawak yang berusia 18 tahun itu merangkul kejuaraan keduanya dengan memenangi Jemputan Valspar Augusta yang berlangsung di Kelab Golf Forest Hills, Georgia, pada Ahad.
Mirabel yang mewakili Florida State University menutup saingan pada pusingan ketiga dan terakhir dengan lima bawah 67 untuk menamatkan saingan di atas papan pendahulu 93 pemain dengan agregat tujuh bawah 209.
Kejayaan ini menyaksikan Mirabel menang dua pukulan ke atas Hannah Darling dari University of South Carolina, Loralie Cowart (University of Georgia) dan Natacha Husted (University of Mississippi); yang mana Darling dan Husted kedua-duanya adalah pemain golf amatur wanita terbaik di Scotland dan Denmark.
Ia merupakan kemenangan yang sewajarnya buat Mirabel selepas memulakan tahun ini dengan cemerlang dengan menduduki tempat ketujuh sebanyak dua kali pada Moon Golf Invitational di Florida dan Collegiate Invitational di Guadalara Country Club di Mexico.
“Ini semestinya minggu yang akan diingati,” kata Mirabel dalam laman web olahraga Universiti Florida seminoles.com
“Saya rasa sangat gembira dapat kembali ke acara ini. Minggu ini, saya bermain dengan sangat baik dari tee hingga hijau dan beberapa putt jatuh untuk saya. Keadaan di luar sana adalah sukar tetapi kesabaran telah membawa saya kepada kemenangan.”
Terdahulu, Mirabel berhasil meraih kemenangan sulungnya di Moon Golf Invitational pada Februari tahun lalu, kemudian menyarung warna Universiti Augusta.
Mirabel menikmati tahun yang luar biasa sebagai ‘pelajar baharu’ (tahun pertama) di institusi yang berpangkalan di Georgia; melengkapkan kemenangan dengan lima kali berada dalam kelompok 10 terbaik.
Kejayaannya itu sekali gus menganugerahkan dirinya penghormatan All-American daripada Persatuan Jurulatih Golf Wanita untuk musim 2022-2023.