KUALA LUMPUR, 14 MAC 2024 – Jaguh larian jarak sederhana negara, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari meletakkan sasaran untuk memenangi pingat emas acara 800m buat kali kedua berturut-turut pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 yang dijadualkan berlangsung bermula dari 25 Jun hingga 6 Julai di Surabaya dan Malang, Indonesia.
Keyakinan atlet berusia 23 tahun itu berdasarkan kejayaan memenangi pingat emas 800m pada edisi 2022 yang berlangsung di Ubon Ratchathani, Thailand.
“Saya merangkul pingat emas 800m pada AUG 2022 di Thailand dan sasaran utama saya adalah untuk mengekalkan kejuaraan dan menyumbang pingat emas kepada negara. Kalau boleh saya juga mahu memecahkan rekod Kebangsaan dalam acara itu.
“Bagi mencapai sasaran meraih pingat emas pada AUG 2024, saya akan bertanding dalam dua pertandingan iaitu Siri Super Olahraga di Johor dari 19-21 April dan Terbuka Malaysia dari 14-16 Jun,” katanya.
Ketika di Ubon Ratchathani, Wan Muhammad mencatat masa 1 minit 54.82 saat untuk menewaskan pesaing terdekatnya dari Indonesia dan Thailand yang masing-masing pulang dengan pingat perak dan gangsa.
Kem olahraga menjadi sanjungan kontinjen Malaysia sepanjang AUG 2022 dengan menyumbang 11 pingat emas, sekali gus melepasi tujuh sasaran emas yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Pada AUG 2022, kontinjen Malaysia muncul pasukan kedua terbaik keseluruhan dengan meraih 49 pingat emas, 83 perak dan 50 gangsa.