fariszolkefli
KUALA LUMPUR, 15 MAC 2024 – Bintang-bintang generasi baharu esukan Malaysia akan memulakan langkah permulaan mereka pada 18 Mac ini apabila Mobile Legends: Bang Bang Academy League Malaysia (MAL MY) akan membuka tirai musim sulungnya.
Dikuasakan oleh MOONTON Games dan IO ESPORTS dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Esports Integrated (ESI), liga yang baru dilancarkan ini menawarkan platform yang lebih mudah diakses kepada para atlet muda di Malaysia, serta rangka kerja yang lebih jelas untuk memasuki dunia esukan profesional dengan pertaruhan utama adalah slot kelayakan ke Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) Malaysia, liga peringkat tertinggi dalam negara.
“Musim sulung MAL MY mungkin masih dalam peringkat pra-musim, tetapi kami sudah dapat melihat perkembangan positif yang berlangsung di peringkat akar umbi bagi MLBB Esports. Kami melihat bakat-bakat muda berpotensi menyertai sirkit profesional dan datang bukan sahaja di kawasan Lembah Klang, yang merupakan lokasi rumah Arena MPL Malaysia, tetapi juga dari negeri-negeri sejauh Sarawak, Pulau Pinang dan Kelantan.
“Kami juga melihat lebih banyak kepelbagaian dalam senarai pemain kami, dengan lebih ramai atlet wanita dan individu kelainan upaya (OKU) yang mahu mengejar aspirasi esukan mereka di pentas pertandingan MAL MY musim ini. Ini adalah perkembangan yang sangat baik untuk pembangunan esukan kebangsaan secara keseluruhan, terutamanya dengan usaha kami untuk mempertahankan maruah negara di Kejohanan Dunia M6 yang bakal berlangsung di Malaysia pada penghujung tahun ini,” kata Fikri Rizal Mahruddin, Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan, MOONTON Games.
Tragedi yang menimpa Ahmad Syakirin apabila beliau mengalami kemalangan yang menyebabkan beliau kehilangan kaki kanannya dan kehilangan fungsi pada tangan kirinya. Walau bagaimanapun, kejadian itu tidak menghalang beliau dari menggapai impian di dalam esukan. Selepas beberapa bulan melalui proses pemulihan dan rehabilitasi, atlet Axis Eldians itu kembali bangkit untuk memenangi pingat perak bagi Malaysia pada Sukan Para ASEAN ke-12 pada tahun lalu. Kini beliau berhasrat untuk membuktikan bahawa beliau mampu bersaing dengan yang terbaik di Malaysia melalui pentas MAL MY.
“Pada awalnya, saya tidak percaya bahawa saya boleh bermain menggunakan satu tangan sahaja dan saya kurang keyakinan dengan diri sendiri. Tetapi apabila saya berjumpa dengan para pemain MLBB dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di luar sana yang boleh bermain dengan begitu baik hampir tiada masalah, saya berbisik kepada diri saya sendiri: ‘jika orang lain boleh melakukannya, mengapa saya tidak boleh?’
“Dengan sokongan daripada rakan-rakan dan keluarga saya, saya memulakan perjalanan saya untuk belajar cara bermain sebagai pemain MLBB ‘satu tangan’. Alhamdulillah, saya dipilih untuk mewakili Malaysia dalam acara MLBB Para ASEAN 2023 dan mencapai tempat kedua secara keseluruhan.” kata Ahmad Syakirin.
Sementara itu, Sharifah Alia Husna Binti Syed Fakrrurozi atau lebih dikenali sebagai Aria daripada UKM X Aero, yang juga seorang pemenang pingat di Sukan SEA 2023, juga akan bersaing musim ini sebagai sebahagian daripada penyertaan kumpulan atlet wanita yang berbakat dan bercita-cita tinggi untuk menggegar liga ini. Pelajar berusia 21 tahun dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini memenangi pingat gangsa mewakili Malaysia dalam acara MLBB kategori wanita di Sukan SEA ke-32 pada tahun 2023 di Kemboja.
“MAL MY boleh memberi impak besar dalam peningkatan penglibatan wanita dalam esukan dengan menyediakan platform yang mudah diakses dan inklusif kepada pemain wanita untuk bersaing, mempamerkan kemahiran mereka, dan menjadi sebahagian daripada komuniti yang menyokong. Kami menjangkakan untuk bersaing dengan sangat baik, dan saya harap ini memberi inspirasi kepada pemain wanita terutamanya belia di luar sana untuk mengejar impian mereka,” kata Aria.
Musim Biasa 1 (Regular Season) akan berlangsung dari 18 Mac hingga 9 Mei, sementara Pusingan Playoffs akan berlangsung dari 24 hingga 26 Mei. Liga ini akan terdiri daripada dua kategori konferens berasingan yang terdiri daripada tujuh pasukan – Challengers Conference – terdiri daripada pasukan dari kombinasi pelbagai kejohanan akar umbi pihak ketiga dan Kelayakan Terbuka yang diadakan pada bulan Februari; dan Affiliated Conference, yang menampilkan pasukan pelapis dari pasukan utama Musim 13 MPL Malaysia.
Musim Biasa akan melibatkan kesemua 14 pasukan dan akan bermain dalam pertandingan Best-Of-Two (BO2) pusingan round robin, dengan kedudukan Konferens mereka berdasarkan bilangan mata yang diperolehi. Empat pasukan teratas dari setiap Konferens akan mara ke Pusingan Kelayakan, di mana lapan pasukan akan bersaing untuk hadiah wang sebanyak USD 20,000.
Sumber Gambar: MAL MY
#mySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #MobileLegendsBangBangAcademyLeagueMalaysia #MLBB #MoontonGames