haziq

10 PASUKAN REBUT GELARAN JUARA MPL 13

10 PASUKAN REBUT GELARAN JUARA MPL 13

March 26, 2024 5:49 am

KUALA LUMPUR, 26 MAC 2024 – Liga esukan paling lama di Malaysia kembali untuk musim ke-13 bulan ini yang dianjurkan oleh MOONTON Games dan IO Esports, dengan sokongan dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Esports Integrated (ESI), Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) Malaysia akan memberi peluang kepada dua pasukan untuk merebut hadiah sehingga RM14 juta (USD3 juta) di kejohanan Mid Season Cup (MSC) 2024 yang akan berlangsung serentak dengan Esports World Cup (EWC) di Riyadh, Arab Saudi. 

Juara musim ke-13 akan mendapat kelayakan terus ke Pentas Utama MSC 2024, manakala pasukan kedua akan melangkah ke peringkat MSC 2024 Wild Card. MPL Malaysia akan menampilkan hadiah wang tunai sebanyak RM468,000 (USD100,000).

MPL Malaysia akan bekerjasama dengan pelbagai pemegang taruh dan organisasi pengawalseliaan untuk memperkenalkan rangkaian inisiatif baru pada musim ini untuk meningkatkan daya saing, tahap profesionalisme, dan inklusiviti liga. Ini termasuklah penyelarasan buku peraturan MPL Malaysia bersama dengan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG) yang baru dilancarkan oleh KBS untuk membuka peluang kepada pemegang taruh liga, serta kerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Malaysia untuk memberikan peluang kepada komuniti pekak menikmati kerancakan esukan.

Selaras dengan visi liga untuk menjadikan esukan lebih terangkum, Musim 13 akan terus menawarkan kemasukan percuma kepada semua peminat. Pendaftaran hanya boleh dilakukan secara walk-in sahaja, dengan tempat duduk diberikan mengikut konsep kedatangan awal. Untuk memperkukuh semangat komuniti, Musim 13 akan menyaksikan kemunculan kempen “Peminat Sepanjang Musim” yang akan memberi peluang kepada para peminat untuk memenangi sebuah motosikal Vespa, telefon ASUS ROG Phone, kerusi permainan Secretlab, dan pelbagai hadiah lain hanya dengan menghadiri perlawanan MPL Malaysia dan menyelesaikan tugasan mudah seperti berinteraksi dengan pemain.

Menurut Fikri Rizal Mahruddin, Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan MOONTON Games, “MPL Malaysia telah menempuh perjalanan yang panjang untuk menjadi ekosistem esukan kompetitif terkemuka di Malaysia, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan pada tahun ini untuk mencapai visi kami untuk melalui #EsportsForEveryone. Melalui perbincangan rapat dan kerjasama dengan pakar-pakar dan pemegang taruh, kami terus meneroka peluang baru dan inovatif untuk membawakan pengalaman dan manfaat terbaik dari esukan.”

Bountee Esports dan Monster Vicious telah berjaya dalam Kelayakan Terbuka Musim 13 MPL Malaysia untuk menyertai lapan pasukan teratas MPL Malaysia dari Musim Ke-12 di dalam Musim Biasa (Regular Season) MPL Malaysia Musim 13. Mereka akan berusaha untuk mengulangi kejayaan Team HAQ pada Musim 10, di mana mereka menjadi juara liga selepas layak menerusi peringkat Kelayakan Terbuka.

Berasal dari negeri Sarawak, Bountee Esports akan bergantung kepada kelebihan pemain veteran, Nik ‘Dominus’ Muhyyiddin, yang kembali ke arena pertandingan selepas berehat selama 2 tahun. Pemain mid-laner berusia 23 tahun itu adalah seorang veteran dalam arena esukan MLBB – beliau telah menjadi juara pada Musim 3 dengan pasukan Geek Fam MY dan telah mewakili Malaysia di MLBB Southeast Asia Cup 2019.

Monster Vicious akan berusaha untuk mengubah reputasi mereka sebagai kelab pinjaman, dengan meminjamkan beberapa pemain mereka kepada pasukan MPL Malaysia sebelum ini. Juara Liga Esukan Malaysia 2023 (MEL23) ini bersemangat untuk membina nama mereka di dalam arena profesional setelah sebelum ini gagal untuk melangkah ke peringkat Kelayakan Terbuka Musim 10.

Dengan hadiah terkumpul sebanyak MYR 14 juta di MSC 2024 menjadi taruhan, para pasukan dari Musim ke-12 kini telah bersiap memperkuatkan pasukan. Ini termasuklah juara musim lepas HomeBois, yang telah menghancurkan rekod perpindahan dalam negara untuk mendapatkan khidmat seorang atlet esukan, Muhammad “Udil” Ardiansyah, dari pasukan Indonesia, Alter Ego Esports, dengan harga MYR 330,000.

Musim Biasa (Regular Season) MPL Malaysia 13 akan menampilkan 10 pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) terbaik dalam negara. Musim Biasa akan berlangsung setiap hujung minggu dari 29 Mac sehingga 12 Mei, kecuali pada hujung minggu Hari Raya Puasa, dan akan mengikuti format round robin, dengan setiap perlawanan menggunakan format Best-Of-Three (BO3). Musim Biasa akan diikuti oleh Playoffs, di mana lapan pasukan teratas akan bersaing untuk merebut kejuaraan.

Kesemua perlawanan pada Musim 13 akan diadakan di Rumah MPL Malaysia iaitu Stadium MBSJ Serdang Jaya. Lokasi ini mampu memuatkan sehingga 1,000 penonton, meningkat dari kapasiti 600 penonton pada Musim 12 yang lalu.

Musim lepas telah menyaksikan kisah ‘Cinderella’ bagi pasukan HomeBois, yang telah menjadi juara di penampilan pertama mereka di peringkat akhir MPL Malaysia Grand Final. Pertarungan kemuncak itu telah mendapat tontonan tertinggi dalam sejarah MPL Malaysia dengan tontonan serentak sebanyak 550,000 orang penonton, menurut data dari Esports Charts. HomeBois kemudiannya telah mewakili Malaysia di Kejohanan Dunia M5, di mana mereka tersingkir dari peringkat kumpulan dalam penampilan antarabangsa pertama mereka.

Kesemua perlawanan akan distrim secara langsung menerusi laman Facebook MPL Malaysia dan kesemua laman Mobile Legends: Bang Bang. 

Berikut adalah senarai penuh 10 pasukan bagi musim ini:

HomeBois

TODAK

RSG Malaysia

NINERS (dahulu dikenali sebagai MPX NSEA)

Barracuda Esports

King Empire

Selangor Red Giants

Team HAQ

Bountee Esports

Monster Vicious

Sumber Gambar: Moonton

#mySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #MPLMY13 #MLBB #Moonton