Faris Zolkefli

KBS UMUM SYARAT PELEPASAN CUKAI LATIHAN SUKAN

KBS UMUM SYARAT PELEPASAN CUKAI LATIHAN SUKAN

April 23, 2024 8:00 am

KUALA LUMPUR, 23 APRIL 2024 – YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 telah mengumumkan bahawa Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000; meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

Perbelanjaan yang dibenarkan adalah untuk kegunaan/manfaat diri sendiri, suami/isteri atau anak. Jenis pelepasan cukai individu berkaitan perbelanjaan sukan yang layak dituntut adalah seperti: pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut jenis sukan yang disenaraikan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] (tidak termasuk basikal dua roda bermotor); bayaran sewaan atau fi kemasukan ke mana-mana fasiliti sukan; bayaran fi pendaftaran bagi menyertai apa-apa pertandingan sukan; dan yuran keahlian gimnasium atau latihan sukan.

Pelepasan cukai bagi yuran menyertai latihan sukan adalah skop baharu yang dimasukkan untuk perbelanjaan yang dibuat oleh individu bermula pada tahun 2024. Kriteria latihan sukan yang layak mendapat pelepasan cukai adalah: latihan secara one-off atau bersiri yang diadakan secara berstruktur seperti kelas/klinik/kursus/bengkel dan sebagainya; jenis sukan adalah seperti yang tersenarai di bawah Jadual Pertama, Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576]; penyedia latihan mestilah persatuan/kelab sukan/syarikat yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atau diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016; dan perbelanjaan bagi yuran latihan sukan dibuktikan dengan resit pembayaran termasuk resit yang dijana secara dalam talian.

Sementara itu, Pesuruhjaya Sukan telah mengeluarkan Surat Pekeliling sebagai tambahan kepada Pekeliling Pesuruhjaya Sukan Bilangan 1 Tahun 2023 berkaitan sukan yang disenaraikan di bawah Perintah Pembangunan Sukan (Pindaan Jadual Pertama) 2023 Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].

Pekeliling Pesuruhjaya Sukan Bilangan 1 Tahun 2023 berkaitan sukan yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta 576 yang telah mula berkuat kuasa pada 7 April 2023 bertujuan memberikan panduan dan rujukan mengenai aktiviti yang dikira sebagai sukan yang disenaraikan di bawah Perintah Pembangunan Sukan (Pindaan Jadual Pertama) 2023 [P.U. (A) 60/2023] Akta 576.

Mana-mana badan sukan yang hendak melaksanakan apa-apa aktiviti sukan perlu memohon untuk didaftarkan di bawah Akta 576. Badan sukan hendaklah bertindak sebagai badan pengelola atau badan perwakilan suatu sukan di Malaysia sama ada di peringkat kebangsaan, negeri, daerah atau kelab selaras dengan seksyen 2 di bawah Akta yang sama.

Sesuatu sukan yang diwakili oleh mana-mana perwakilan perlu dikawal selia oleh badan pengelola berdasarkan peraturan-peraturan atau undang-undang yang diiktiraf. Sehubungan dengan itu, adalah wajar suatu permohonan pendaftaran badan sukan turut mengambil kira peraturan-peraturan, undang-undang atau suatu kaedah yang diguna pakai untuk sukan itu.

Mesyuarat Pengurusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia Bilangan 12 Tahun 2023 bertarikh 1 September 2023 telah bersetuju supaya Jadual A iaitu perincian senarai aktiviti yang dikira sebagai sukan di bawah Perintah Pembangunan Sukan (Pindaan Jadual Pertama) 2023 dipinda selaras dengan syarat pendaftaran dan mengambil kira peraturan-peraturan atau kaedah yang diguna pakai untuk suatu sukan itu.

Sumber Gambar: KBS Malaysia

#mySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan